KUCHING: Pelantikan kaunselor daripada golongan muda terutama di kalangan yang berpendidikan tahap ketiga, usahawan dan ahli teknokrat serta profesional adalah diperlukan dalam pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini.
Dr Abdul Rahman Junaidi (BN-Pantai Damai) berkata ia bagi memberi peluang kepada generasi muda berkhidmat kepada masyarakat selain diyakini mampu memberi pandangan serta idea yang lebih bernas untuk meningkatkan prestasi PBT.
“Saranan ini adalah sejajar dengan penekanan kerajaan terhadap penyertaan ramai golongan muda yang berpendidikan tinggi dalam pelbagai sektor pentadbiran iaitu di peringkat kerajaan, badan berkanun, syarikat milik kerajaan termasuk di peringkat pentadbiran PBT,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Pihak Berkuasa Tempatan (Pindaan) 2013 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.
Sementara bagi PBT yang tidak dirangkumi oleh ordinan tersebut seperti Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan tidak mem-punyai kaunselor, Dr Abdul Rahman mencadangkan supaya golongan muda profesional turut dilibatkan dalam urusan pentadbiran seperti dengan menubuhkan Jawatankuasa Khas atau Majlis Perundangan.
“Sekiranya kaedah ini dapat dilaksanakan seperti di PBT-PBT lain nanti, kita pasti golongan muda ini akan dapat membantu DBKU terutama dalam meningkatkan perkhidmatan mereka kepada masya-rakat setempat,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Abdul Rahman berkata cadangan dalam ordinan tersebut yang melibatkan pembayaran surcaj kepada cukai yang lambat dibayar, penambahan kadar penalti dan kompaun serta meningkatkan kuasa untuk PBT mengurus selia kawasan dan tapak-tapak perniagaan adalah langkah yang wajar dan perlu dilaksanakan oleh setiap PBT.
Tambah beliau, ini akan dapat memberi penambahbaikan kepada prestasi PBT pada masa akan datang.
“Untuk menjadikan setiap pekan dan bandar kita dalam keadaan bersih, selamat dan mesra masyarakat, PBT mesti-lah mempunyai kuasa yang secukupnya untuk mengurus dan melaksanakan program pembangunan masing-ma-sing termasuk menguruskan aktiviti peniaga-peniaga kecil dan sederhana di kawasan mereka.
“Kini, banyak aduan ma-syarakat tentang peniaga-peniaga makanan yang tidak mematuhi peraturan PBT sehingga mendatangkan masalah dan kesulitan kepada orang awam seperti gangguan lalu lintas, kekotoran akibat pembuangan sampah yang tidak sempurna, penularan vektor penyakit seperti lalat, lipas dan tikus dan sebagainya.
“Justeru, bagi memastikan kegiatan perniagaan seperti ini dapat dikawal selia dengan teratur dan sistematik, mereka yang sengaja melanggar peraturan ini haruslah dikenakan denda atau penalti yang lebih tinggi supaya tahap kesedaran di kalangan mereka dapat dipertingkatkan,” katanya.
Selain itu, beliau turut meng-alu-alukan cadangan untuk menambah bilangan kaunselor dalam PBT di seluruh Sarawak daripada 24 atau 25 orang kepada 30 orang.
“Memandangkan keadaan geografi yang luas dan sistem logistik yang sukar, maka se-setengah PBT kita didapati sukar untuk memberi perkhidmatan terbaik dan berkesan kepada masyarakat.
“Keadaan ini kadang-kadang menjadi lebih rumit akibat bilangan kakitangan yang terhad dan bilangan ahli majlis yang sedikit.
“Dengan penambahan bilangan ahli-ahli majlis tempatan ini nanti, kita pasti tahap perkhidmatan PBT-PBT kita akan bertambah mantap dan lebih menyeluruh,” katanya.
Tambah beliau, skop kawasan pentadbiran PBT di Sarawak adalah berbeza dengan negeri-negeri lain di Malaysia di mana setiap inci tanah dan kawasan negeri ini diletak dan ditadbir di bawah sesebuah PBT.