Enam ahli jawatankuasanya ditahan semasa mengadakan kutipan derma di pekan Dalat
SIBU: Insiden penahanan seramai enam ahli jawatankuasa Persatuan Veteran Tentera Malaysia Negeri Sarawak (PVTMS) oleh polis daerah Dalat semasa mengutip derma Kempen Tabung Pahlawan 2013 Kebangsaan di daerah itu kelmarin dianggap amat mengecewakan dan mengaibkan persatuan.
Presidennya Thomas Ling berkata enam ahli jawatankuasanya yang diketuai Naib Presiden PVTMS Idres Adam ditahan semasa mengadakan kutipan derma di pekan itu sekitar jam 11 pagi dan dibawa menaiki kenderaan polis ke balai untuk disiasat.
“Mungkin masa itu, pihak polis menganggap ahli jawatankuasa saya sebagai pengutip derma haram untuk kegunaan tertentu.
“Mereka juga tetap ditangkap walaupun ada menunjukkan tag pengesahan yang membuktikan mereka dilantik dan dibenarkan menjalankan kutipan derma yang dikeluarkan oleh Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kempen Tabung Pahlawan 2013 Kebangsaan Laksamana Tan Sri Datuk Setia Mohd Anwar Mohd Nor (TLDM) (B).
“Ahli jawatankuasa saya ditangkap kerana gagal menunjukkan Lesen Bagi Menganjur Kutipan yang dikeluarkan oleh pihak atasan.
“Sebaik ahli jawatankuasa saya memaklumkan insiden terbabit kepada saya yang ketika itu berada di Kuching, saya terus fakskan lesen tersebut kepada ketua polis daerah Dalat,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Menurutnya, insiden terbabit tidak sewajarnya berlaku kerana kutipan derma itu sering diadakan setiap tahun dan ia dijalankan di seluruh Malaysia.
Katanya ini adalah kali pertama PVTMS membawa tabung itu ke daerah Dalat tetapi terus kena tangkap disebabkan berlakunya kekeliruan pihak polis terhadap persepsi kehadiran ahli-ahli jawatankuasa PVTMS mengutip derma di pekan tersebut.
“Semua masyarakat tahu akan kutipan derma ini, tetapi soalnya bagaimana pihak polis di Dalat masih mempersoalkan ahli-ahli jawatankuasa kami terhadap kutipan itu sedangkan mereka lengkap berbaju korporat PVTMS termasuk dengan tag pengesahan.
“Mereka (ahli jawatankuasa yang terlibat) malu sebenarnya. Mereka ditangkap dan dibawa dengan kenderaan polis di depan khalayak ramai sehingga boleh menimbulkan syak wasangka masyarakat setempat di daerah Dalat terhadap persatuan kami.
“Sepatutnya pihak polis terlibat memberi amaran sahaja dan tidak berbuat demikian memandangkan mereka ada tag pengesahan walaupun tidak membawa lesen berkenaan.
“Memandangkan lesen ini dikeluarkan oleh pihak atasan atas tujuan yang sama di seluruh Malaysia, pihak polis harus tahu akan kehadiran ahli jawatankuasa PVTMS di merata-rata tempat di bahagian negeri ini untuk mengutip derma,” tegasnya.
Sementara itu, Thomas memberitahu bahawa ahli jawatankuasanya dilepaskan dari Balai Polis Daerah Dalat sekitar jam 1 petang dan diberikan masa selama dua jam bagi mendapatkan lesen berkenaan daripadanya yang tidak menyertai kutipan derma di Dalat.
“Mujurlah selepas dimaklumkan oleh Idres saya terus faks lesen berkenaan ke Dalat. Bagaimanapun, kami merakamkan penghargaan kepada ketua polis Dalat kerana memberikan kerjasama kepada kami dan berharap kejadian sebegini tidak berulang lagi,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menulis surat kepada Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Wira Mohammad Sabtu Osman semalam bagi memaklumkan mengenai maklumat Kutipan Kempen Tabung Pahlawan 2013 di seluruh negeri ini oleh PVTMS bagi mengelak berulangnya insiden terbabit.
“Diharap semua pihak polis di negeri ini faham dan tahu akan pergerakan tabung ini dan kami bukannya dibayar mengutip dana ini serta dibuat secara sukarela oleh jawatankuasa saya.
“PVTMS bukannya pengutip derma haram malah kami mempunyai lesen sebagaimana usaha ini turut dijalankan di seluruh negara.
“Ini semua adalah untuk mengenang jasa pengorbanan bekas-bekas tentera yang telah berjuang untuk negara ini mencapai kemerdekaan yang kita nikmati seperti sekarang.
“Kami bukan pengutip derma haram dan diharap masyarakat setempat juga faham kehadiran ahli-ahli kami di seluruh negeri,” katanya.
Dalam pada itu, Idres memberitahu bahawa kutipan PVTMS di daerah Dalat kelmarin berjaya memperolehi sejumlah RM1,470 dan merakamkan penghargaan kepada masyarakat di Dalat meskipun terdapat insiden yang berlaku.
“Kutipan ini kami akan salurkan ke PBTM Tabung Pahlawan 2013 seperti yang diarahkan oleh pihak atasan dan bukannya kegunaan PVTMS.
“Diharap masyarakat luar tahu dan sedar apa yang kami buat. Kami bukannya pengutip derma haram,” katanya.