Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

Kerajaan sokong penganjuran Regata Sibuti

$
0
0

SIMBOLIK: Tun Salahuddin (tiga kiri) memukul gong sebagai simbolik penutupan rasmi Regata Sibuti 2013 sambil disaksikan Norkiah (dua kiri) di Sepupok, Niah semalam.

DI HATI RAKYAT: Tun Salahuddin dan Norkiah melambai kepada penduduk yang menyaksikan Regata Sibuti 2013 semalam.

RAJA SUNGAI SIBUTI: Pasukan Masyarakat Nelayan Bersatu Sibuti 1 meneruskan kayuhan deras meninggalkan pesaingnya sekali gus ditabalkan sebagai Raja Sungai Sibuti pada Regata Sibuti semalam.

RM50,000 diberi kepada penganjur yang disifatkan mampu laksana aktiviti pupuk perpaduan kaum

NIAH: Kerajaan negeri menerusi Kementerian Pelancongan memperuntukkan RM50,000 kepada Jawatankuasa Regata Sibuti yang disifatkan mampu melaksanakan aktviti yang memupuk perpaduan kaum.

Menteri Muda Pelancongan Datuk Talib Zulpilip berkata Regata Sibuti telah membawa satu impak besar kepada penjanaan ekonomi penduduk setempat dan pada masa sama menarik kehadiran pelancong.

“Kementerian Pelancongan memperuntukkan kira-kira RM50,000 sebagai tanda sokongan untuk menjadikan acara ini dapat mengukuhkan perpaduan dan keharmonian kaum,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg merasmikan penutupan Regata Sibuti di Sepupok Niah, di sini semalam.

Beliau menambah, acara sedemikian mampu menarik kehadiran pelancong dalam dan luar negeri sekali gus menjana pendapatan penduduk tempatan yang menjual produk tempatan.

“Sudah pasti pelancong asing mahu mengetahui lebih lanjut tentang sejarah lumba perahu, produk makanan tempatan dan sebagainya.

“Kementerian kita menyokong acara ini kerana ia bukan sahaja mampu merancakkan sektor pelancongan sebaliknya mempromosi apa juga produk tempatan kepada pelancong asing,” jelasnya.

Talib memberitahu, Regata Sibuti memberi impak sangat besar kepada para peniaga kerana dapat menjana pendapatan sampingan sepanjang regata terbabit berlangsung.

“Saya melihat pelbagai potensi lain yang dapat menjana ekonomi penduduk seperti menyewa bot atau perahu kepada pemancing atau pelancong asing.

Pada masa sama, penduduk juga boleh membuat atau menyediakan rakit untuk disewakan semula kepada pengunjung yang ingin merasai pengalaman menyusuri Sungai Niah,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Talib berkata Regata Sibuti mampu mengukuhkan perpaduan kaum antara penduduk tempatan dan pengunjung luar yang sama-sama menyaksikan perlumbaan perahu.

“Kestabilan dan kedamaian yang kita kecapi hari ini membolehkan kita menganjurkan pelbagai acara yang melibatkan masyarakat setempat tidak seperti negara lain yang sedang bergolak.

“Kejayaan penganjuran Regata Sibuti dapat ditafsir menerusi kehadiran ramai pengunjung bahkan menghimpunkan masyarakat dengan aktiviti yang bersifat perpaduan,” katanya.

Turut menyaksikan Regata Sibuti semalam Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Norkiah.

Hadir sama Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Datuk Mohd Naroden Majais, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu Rosey Yunus, ADUN Lambir Ripin Lamat dan Residen Bahagian Miri Antonio Kahti Galis.

Sementara itu, pasukan Masyarakat Nelayan Bersatu Sibuti 1 ditabalkan sebagai Raja Sungai Sibuti sekali gus memenangi Piala Regata Sibuti 2013.

Naib juara milik pasukan Masyarakat Nelayan Bersatu Sibuti 2 dan tempat ketiga dimenangi pasukan Anak Kuching Hitam.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>