
BERPESTA: Salibasic melakar jaringan hatrik meraikan gol bersama Junior Eldstal pada perlawanan menyaksikan Sarawak membelasah Perak 6-1 di Stadium Negeri, Kuching malam Sabtu lalu. — Gambar Muhammad Rais Sanusi
Penyokong bersikap profesional banyak dorong kejayaan Sarawak mara ke suku akhir
KUCHING: Tidak menimbulkan provokasi selain penyokong bersikap profesional banyak mendorong kejayaan Sarawak tatkala membelasah Perak 6-1 dalam perlawanan terakhir Kumpulan D pada saingan Piala Malaysia 2013 di Stadium Negeri, di sini malam kelmarin.
Sikap positif yang ditampilkan lebih 20,000 penyokong setia Ngap Sayot itu berjaya membakar semangat pemain untuk beraksi lebih mantap bagi menempah tempat ke peringkat suku akhir.
Pesta anak-anak buah Robert Alberts bermula seawal minit keenam menerusi gol sendiri pemain Perak, Khairi Kiman yang tertanduk masuk bola lontaran jauh pemain pertahanan Sarawak, Ronny Harun.
Selang seminit kemudian penyerang sensasi Sarawak, Bobby Gonzales mudah menewaskan Mohd Jibrail Kamarin selepas meneriman lorongan cantik daripada Zamri Morshidi.
Skuad Seladang kendalian Mohd Azraai Khor Abdullah, bagaimanapun berjaya merapatkan kedudukan menerusi tandukan cantik Yong Kuong Yong pada minit ke-23 menjadikan kedudukan 2-1.
Usaha Perak menyamakan kedudukan tidak berhasil apabila Muamer Salibasic menjarakkan kedudukan pada minit ke-44 hasil kesilapan Mohd Jibrail yang gagal mengeluarkan bola dalam petak gol.
Sarawak yang mendahului 3-1 terus bernafsu memburu jaringan dan Zamri Morshidi berjaya mencetak jaringan menerusi tandukan selepas menerima lontaran jauh daripada Ronny pada minit ke-57.
Salibasic terus menghukum kealpaan jentera pertahanan Perak pada minit ke-59 selepas berjaya menjaringkan gol cantik dari luar petak penalti.
Minit ke-72 menyaksikan Salibasic melakar jaringan hatrik apabila berjaya melepasi perangkap ‘offsaid’ seterusnya mudah memperdaya penjaga gawang Perak, Mohd Jibrail.
Alberts yang ditemui selepas perlawanan menyimpulkan kemenangan besar 6-1 skuad Sarawak terhadap Perak malam Sabtu lalu ternyata amat mengagumkan dan di luar jangkaan.
“Satu lagi perlawanan yang baik untuk kita. Keputusan ini memang luar biasa dan tidak semua orang boleh menjangkakan,” katanya dengan nada penuh gembira kejayaan skuad bimbingannya.
Jurulatih dari Belanda itu menjelaskan, prestasi semua pemain pada perlawanan itu amat baik termasuk Salibasic yang melakar hatrik pertama musim ini.
“Kita berjaya menjaringkan gol awal sekali gus menjadi penyuntik semangat kepada pemain-pemain untuk terus menjaringkan gol,” katanya.
Pada masa sama, Alberts turut memuji sokongan padu diberikan oleh penyokong-penyokong yang menjadi pembakar semangat kepada kejayaan skuad Ngap Sayot melangkah ke suku akhir Piala Malaysia musim ini.
Perlawanan menarik itu turut disaksikan Menteri Tugas-tugas Khas, Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem serta isteri Datuk Jamilah Anu, Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) Datu Sudarsono Osman, barisan exconya serta tetamu kehormat lain.
Sarawak muncul juara Kumpulan D dalam saingan Piala Malaysia 2013 dengan mengumpul 10 mata di hadapan pencabar utama, Lions XII FC serta Perak dan Kedah.
Pada peringkat suku akhir nanti, Sarawak akan berhadapan dengan Sime Darby FC (naib juara Kumpulan A) pada 28 September ini di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Kuala Lumpur.
Perlawanan lain menyaksikan Lions XII FC bertemu ATM (juara Kumpulan A), Johor DT bertemu Kelantan dan Pahang bertemu Selangor PKNS.