
LONTAR: Abdul Razak melontar bola petanque merasmikan Kejohanan Sukan Pantanque IPT Zon Sarawak sambil disaksikan oleh Chow (kiri) dan Saidi (kanan) di Santubong kelmarin.
KUCHING: Kolej Komuniti akan terus berusaha mempopularkan sukan petanque khususnya di kalangan warga IPT dalam usaha mengasah bakat serta melahirkan lebih ramai atlet dalam sukan tersebut di sini.
Bendahari Majlis Sukan Kolej Komuniti Abdul Razak Sabtu berkata ini sangat penting kerana petanque turut dipertandingkan di kejohanan berprestij seperti Sukan Malaysia (SUKMA) dan Sukan ASEAN.
Menurutnya, pelantikan Kolej Komuniti sebagai pusat perkembangan sukan petanque IPT sejak 2012 membuktikan keseriusan pihaknya untuk memartabat dan memajukan sukan itu di Sarawak.
“Sukan ini boleh memupuk semangat kerja berpasukan serta dapat mengeratkan semangat toleransi dan muhibbah di kalangan kakitangan dan pelajar IPT,” katanya ketika merasmikan Kejohanan Sukan Pantanque IPT Zon Sarawak di Tapak Sukan Pantanque Kampung Santubong, di sini semalam.
Kejohanan Zon Sarawak itu disertai tujuh IPT di seluruh negeri secara berpasukan dan individu yang dibahagikan kepada tujuh kategori.
Ia diadakan bagi memilih wakil pasukan yang akan mewakili zon masing-masing di kejohanan Sukan Petanque peringkat kebangsaan sedikit masa lagi.
Manakala, bagi Zon Sarawak Kejohanan tersebut diadakan bagi merebut Piala Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Sarawak.
Turut hadir Pengarah Kolej Komuniti Kuching Saidi Japari, Pengarah Kolej Komuniti Mas Gading, Chow Tio Kiong dan Pengarah Kolej Komuniti Santubong, Baki Nyoem.