Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

Tabik kepada wanita UMNO beri peluang orang muda bertanding

$
0
0

KUALA LUMPUR: Pergerakan Wanita UMNO perlu diberi tabik hormat kerana mengamalkan konsep keterbukaan dengan memberi peluang seluas-luasnya kepada sesiapa sahaja terutamanya golongan muda dan muka baharu bertanding pada pemilihan parti 12 Okt ini.

Penganalisis politik Prof Madya Datuk Zainal Abidin Borhan berkata ia merupakan proses peremajaan yang amat ‘dahsyat’ apabila lebih separuh daripada 44 calon yang ingin bertanding untuk 20 jawatan exco sayap itu adalah muka baharu.

“Untuk Exco yang menawarkan muka baharu memang satu proses yang bagus, ruang demokratik dan keterbukaan perlu ditabik kepada Wanita UMNO,” katanya kepada Bernama di sini, semalam.

Rata-rata mereka yang ingin bertanding jawatan Exco buat pertama kali merupakan bekas anggota Puteri yang kini menjadi Ketua Bahagian dan Cawangan masing-masing dan ingin mencuba nasib ke peringkat lebih tinggi.

“Dari kepimpinan Puteri, mereka ingin tingkatkan taraf dan kedudukan. Ia satu proses yang bagus dan sihat dalam UMNO kerana beri ruang pimpinan Puteri berubah daripada merah jambu (warna rasmi sayap itu) ke merah,” katanya.

Mengenai persaingan tiga penjuru bagi jawatan Ketua Wanita dan Naib Ketua Wanita, Zainal Abidin berkata mereka perlu mendapat mandat daripada UMNO negeri jika ingin memenangi jawatan yang ditandingi itu.

Exco Wanita UMNO Senator Datuk Maznah Mazlan semalam membuat kejutan apabila menyerahkan borang pencalonan bagi merebut jawatan Ketua Wanita kira-kira setengah jam sebelum proses penyerahan borang ditutup jam 5 petang.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan yang bakal bertanding jawatan utama pergerakan itu ialah tiga orang termasuk Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang mempertahan jawatan itu dan anggota seumur hidup UMNO Raihan Sulaiman Palestin.

Maznah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah merupakan bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia.

“Raihan mungkin tidak menjejaskan peluang Shahrizat tetapi sekiranya Maznah mendapat mandat dari keseluruhan UMNO Pahang, ia pertandingan yang hebat,” kata Zainal Abidin.

Jawatan naib ketua pula menjadi pertaruhan antara Exco Wanita yang juga ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang Datuk Suraya Yaacob, Ketua Penerangan Wanita UMNO Datuk Hamidah Osman dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun.

Zainal Abidin berkata bakal-bakal calon perlu melengkapkan diri untuk menjadi jurucakap Wanita UMNO yang lantang, tegas dan berani selain membuktikan bahawa mereka amat berintegriti bagi mendapatkan sokongan rakyat.

Sementara itu, anggota veteran UMNO Tan Sri Zaleha Ismail berkata bakal calon yang berhasrat untuk bertanding sebagai Ketua Wanita harus mempunyai manifesto yang meyakinkan supaya dapat memenangi hati perwakilan, selain mempunyai rekod kepimpinan yang baik.

Beliau percaya individu yang bertanding jawatan berkenaan mempunyai alasan yang baik dan matlamat yang jelas dalam mengangkat perjuangan pergerakan wanita.

“Namun, perubahan orang dalam parti sahaja tidak cukup kerana perubahan juga mesti kepada hala tuju dan matlamat dalam memperjuangkan semangat UMNO,” katanya.

Mengenai penyertaan muka baharu dalam jawatan exco, beliau berkata jumlah itu adalah munasabah bagi menyokong konsep keterbukaan parti.

Beliau juga berharap perwakilan yang akan mengundi dapat memilih dengan bijak kerana ia merupakan penentuan masa hadapan pergerakan dan parti.

“Jangan memilih berdasarkan kawan, bukan memilih berdasarkan kepentingan yang mereka dapat, tetapi harus ingat ini adalah perjuangan parti, bangsa dan agama,” katanya. — Bernama


Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>