Pusat beli-belah, pasar raya mulai dikerumuni ibu bapa bawa anak-anak beli barang keperluan sekolah
Oleh Siti Aisyah Ramli //
KUCHING: Promosi jualan hujung tahun dan Hari Krismas dimanfaatkan sepenuhnya oleh ibu bapa untuk membeli-belah bagi membuat persiapan awal persekolahan.
Tinjauan Utusan Borneo di sekitar bandar raya ini semalam mendapati kebanyakan pusat beli-belah serta pasar raya besar di sekitar bandar ini mulai dikerumuni ibu bapa yang membawa anak-anak untuk membeli barang keperluan sekolah.
Menurut Adrian John, 47, dari Bandar Baharu Samariang, untuk tahun ini perbelanjaan keseluruhan untuk membeli barang keperluan persekolahan empat anaknya itu mencecah RM1,300.
“Kalau tahun lepas sekitar RM1,200 tetapi tahun ini sedikit naik kerana keperluan persekolahan anak-anak semakin bertambah.
“Jadi saya mengambil peluang promosi jualan hujung tahun dan tawaran istimewa Hari Krismas untuk membeli barangan persekolahan kerana harganya amat berpatutan pada musim ini,” katanya ketika ditemui di Lebuh India di sini semalam.
Selain itu, Adrian yang turut ditemani isterinya memberitahu bahawa ibu bapa perlu bijak memilih barang keperluan persekolahan anak-anak mereka supaya tidak berlaku pembaziran.
“Kita kena bijak memilih mengikut keperluan dan kemampuan supaya ia tidak memberi beban kepada kita,” katanya sambil menambah ibu bapa perlu membuat senarai barang persekolahan yang diperlukan sebelum pergi membeli.
Sementara itu, Sharifah Hasnah Awang Masri, 53, dari Kota Samarahan berkata, persiapan persekolahan anak-anak perlu dibuat awal terutama pada musim promosi ini.
“Kalau kita tidak mengambil kesempatan pada waktu promosi hujung tahun dan Hari Krismas, harga barang akan kembali seperti biasa dan ia sudah pasti menyebabkan kita terpaksa berbelanja lebih,” jelasnya.
Hasnah yang mempunyai lima anak masih bersekolah berkata, setiap tahun dia membelanjakan antara RM1, 400 hingga RM1, 500 untuk membeli barang keperluan persekolahan anak-anaknya.
“Saya hanya akan membeli barang yang diperlukan sahaja tetapi kalau beg atau kasut masih elok mereka tidak meminta untuk dibeli yang baharu,” katanya.
Manakala menurut Masbul Jamil, 45, dari Bau, dia setiap tahun membuat persiapan awal persekolahan anak-anaknya sewaktu musim promosi jualan hujung tahun dan Hari Krismas yang ditawarkan di kebanyakan pusat beli-belah dan pasar raya di bandar raya ini.
“Ini sudah menjadi kebiasaan bagi saya untuk pergi ke bandar raya Kuching untuk mendapatkan barangan persekolahan anak-anak kerana di sini banyak menawarkan potongan harga yang berpatutan,” ujarnya.