BINTULU: Naim Cendera Sdn Bhd menghargai jasa dan kerjasama media tempatan khususnya media cetak dan elektronik yang banyak membantu membuat liputan berkaitan projek pembangunan syarikat, kata Pengarah Urusan Kanannya Richard Sim.
Jelasnya, sebagai syarikat perindustrian dan binaan dalam pelbagai projek pembangunan prasarana dan infrastruktur, Naim Cendera mengutamakan kualiti berita melibatkan syarikat itu.
“Kami berpuas hati dengan pihak media yang sentiasa memberi sokongan padu kepada Naim Cendera khususnya dalam memapar berita mengenai produk pembinaan terbaharu dan sedang dibangun, program tanggungjawab sosial (CSR) dan sebagainya berkaitan syarikat ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Malam Media Naim 2014 di Hotel Promenade Bintulu, di sini malam Sabtu lalu.
Jelasnya, media yang disifat jambatan penghubung antara Naim Cendera dan masyarakat awam sememangnya memberi impak besar terhadap perkembangan perniagaan dan produk pembinaan yang dimajukan oleh syarikat terbabit.
Justeru ujarnya, kerjasama baik antara kedua-dua belah pihak wajar diperhebat lagi dari semasa ke semasa selaras dengan pembangunan pesat masa kini yang memerlukan bantuan media.
“Saya berharap agar media di bahagian ini meneruskan prestasi cemerlang dalam setiap liputan berita bagi memastikan kredibiliti mereka akan terus disanjung sebagai mata dan telinga masyarakat,” ujarnya.
Majlis berkenaan dihadiri kira-kira 50 wartawan akhbar berbahasa Melayu, Inggeris dan Cina daripada pelbagai agensi akhbar di bahagian ini serta Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Antara objektif utama penganjuran majlis ini ialah bagi menghargai jasa pihak media tempatan yang banyak memberikan sokongan dari segi liputan berita mengenai Naim Cendera.
Pada masa sama ialah ia merupakan acara tahunan Naim Cendera bagi merapatkan lagi silaturahim antara syarikat berkenaan dengan pengamal media tempatan di sini.