KUCHING: Persatuan Alumni Dayak Universiti Malaysia (PADUM) akan memulakan misi untuk mengesan belia kaum Iban di bandar raya ini yang berhadapan masalah sosioekonomi.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi merangkap Penasihat PADUM Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata usaha berkenaan adalah untuk membantu golongan terbabit memajukan diri serta memastikan mereka menjadi ahli masyarakat yang berjaya.
“Saya sudah mengarahkan jawatankuasa termasuk ketua kampung melakukan kajian menyeluruh kedudukan belia Iban di Kuching kerana kami mahu tahu berapa ramai daripada mereka yang masih bersekolah, tercicir persekolahan dan menganggur.
“Kami berharap akan dapat menyediakan tempat di mana kami dapat meletakkan mereka bersama supaya melihat pelbagai peluang yang ada sekali gus memajukan diri supaya dapat berjaya dalam masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemu bual ketika merasmikan Kejohanan Futsal Antara Kampung dan Taman anjuran bersama Persatuan Kebajikan Ketua Masyarakat Kaum Iban Daerah Kuching dan PADUM di gelanggang futsal Stakan, Kota Sentosa di sini, semalam.
Menurut Uggah, kerajaan khususnya telah menyediakan begitu banyak program untuk belia dari segi sekolah, latihan kemahiran, program keusahawanan dan lain-lain.
Justeru beliau menambah, PADUM juga sedang melakukan survei ke atas bilangan belia Iban di Kuching sekarang.
Dalam program berkenaan, katanya setiap kampung akan melakukan pengiraan mereka sendiri ke atas bilangan belia yang ada dan kedudukan sosioekonomi mereka.
“Saya tahu bahawa ada sebahagian daripada mereka yang tercicir daripada sekolah, menganggur dan menghadapi banyak masalah dalam menghadapi kehidupan di bandar iaitu kehidupan yang sangat mencabar.
“Justeru, program-program yang disediakan kerajaan akan dapat membantu mereka atau memberi mereka peluang untuk menjadi ahli masyarakat yang berjaya.
“Jadi kami mahu merapatkan jurang maklumat ini dengan mereka supaya mereka akan tahu dan membuat pilihan apakah laluan dan kerjaya yang mereka mahu lakukan,” katanya.