Program diadakan 181 kali sejak diperkenal pada 2009
KUALA TERENGGANU: Seramai 73,165 rakyat Malaysia terutama dalam kalangan warga emas mendapat manfaat daripada program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) yang diadakan sebanyak 181 kali sejak diperkenalkan pada tahun 2009.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Ismail Ahmad berkata program itu mendapat sambutan ramai, kerana peserta hanya dikenakan bayaran minimum RM160 sahaja untuk mendapatkan lesen memandu percubaan motosikal berbanding RM261 jika lesen memandu itu diperoleh daripada institut memandu.
“Selain itu, beberapa program dan perkhidmatan secara telus yang diadakan turut mendapat sambutan hangat dari penduduk setempat seperti kaunter bayaran Lesen Kenderaan Motor (cukai jalan), pembaharuan lesen memandu, bayaran kompaun dan semakan senarai hitam.
“Di samping itu, kita turut mengadakan pemeriksaan khas motosikal secara percuma juga dilakukan bagi motosikal yang cukai jalannya telah tamat tempoh melebihi setahun dan berdasarkan sambutan, kita akan teruskan lagi program SKSJ ini pada tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Hari Ketua Pengarah Bertemu Pelanggan yang turut dihadiri Pengarah JPJ Terengganu, Abdul Rahman Emang Anyie di sini semalam.
Terbaharu, penganjuran program SKSJ itu telah diadakan kelmarin di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri dekat Setiu yang juga program kali keempat dianjurkan JPJ negeri bagi tahun 2014 di Terengganu.
“Program di Resort Nelayan Rhu Sepuluh, Setiu kali ini mendapat penyertaan seramai 163 peserta terdiri daripada 76 lelaki, 87 wanita dan penyertaan dua calon bangsa lain.
“Setakat ini, seramai 7,564 orang rakyat seluruh Terengganu telah mendapat manfaat daripada program itu,” katanya.
Statistik program SKSJ di negeri Terengganu mencatatkan peningkatan penyertaan di mana pada 2009 disertai seramai 442 peserta, 2010 (1,425 peserta), 2011 (1,458 peserta), 2012 (1,828 peserta) 2013 (1,100 peserta) dan 2014 seramai 1,311 orang peserta. — Bernama