
TINJAU: Harden (kanan), Richard (dua kanan), Nelson (tiga kanan), Sawing (kiri) meninjau salah sebuah projek jalan kampung di Sri Aman Jumaat lalu.
SRI AMAN: Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Datuk Francis Harden Hollis berharap penduduk di kawasan luar bandar tidak bangkit menentang kerajaan Barisan Nasional (BN) hasil bantuan pembangkang di negeri ini.
Ini kerana, penduduk luar bandar masih memerlukan perhatian sewajarnya daripada kerajaan bagi tujuan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan di kawasan masing-masing.
“Apabila penduduk kawasan luar bandar dengan kerjasama pembangkang bangkit menentang BN, maka secara tidak langsung boleh menjejaskan usaha pembangunan yang bakal dilaksanakan kerajaan untuk mereka pada masa akan datang,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau Projek Pembinaan Jalan-jalan Kampung di sekitar bandar Sri Aman.
Penduduk luar bandar sebaliknya harus sentiasa bersama-sama dengan BN untuk memastikan kelancaran projek pembangunan di kawasan masing-masing demi memastikan peningkatan taraf hidup dari semasa ke semasa.
“Lagipun pembangkang hanya petah bercakap, tetapi tidak banyak bekerja untuk membantu membangunkan hidup penduduk di kawasan luar bandar yang sebelum ini masih jauh ketinggalan daripada segala aspek pembangunan.
“Kemampuan mereka tidak seperti BN yang selama ini berusaha keras menaik taraf hidup penduduk secara sistematik dan berperingkat-peringkat di kawasan dalam dan luar bandar negeri ini,” katanya.
Justeru, Harden mahu penduduk di sini terus setia di belakang BN memandangkan hanya mereka yang mempunyai kemampuan untuk meningkatkan taraf hidup penduduk.
Turut hadir meninjau projek tersebut ialah Walikota Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) Richard Tawan Sedu, Setiausaha MDSA Nelson Mujah Girie serta Kaunselor Sawing Sumar.