Mangsa nyaris maut selepas dipercayai terjatuh dekat terminal ekspres di Sg Rajang
SARIKEI: Ketangkasan seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarikei berjaya menyelamatkan seorang warga emas berbangsa Cina daripada lemas di Sungai Rajang, awal pagi kelmarin.
Dalam kejadian itu, Wan Hamzah Wan Malek yang secara kebetulan berada di sebuah bengkel di Jalan Bank, tidak jauh dari tebing sungai berkata, dia terlihat seorang lelaki Melayu berusia 30-an berlari dalam keadaan tergesa-gesa dan cemas, sambil memberitahu ada orang sedang terkapai-kapai di dalam sungai.
“Kata lelaki terbabit, dia ternampak orang menjerit meminta tolong sambil melambai- lambai di dalam sungai di antara Terminal 1 dan Terminal 2 Sarikei.
“Mendengar perkara itu, saya segera memanggil seorang pemandu sebuah bot dan terus menaiki sebuah bot bersama lelaki Melayu terbabit untuk ke lokasi mangsa,” kata Wan ketika ditemui di Hospital Sarikei, kelmarin.
Tambahnya, sewaktu mereka bertiga tiba di tempat mangsa, dia hanya nampak sedikit bahagian kepala mangsa.
“Melihat keadaan mangsa yang sudah hampir tenggelam, saya dengan segera menggapai bahagian kolar baju mangsa lalu menariknya keluar, sambil dibantu dua orang tadi untuk mengangkatnya ke dalam perahu.
“Ketika itu, mangsa telah berada dalam keadaan tidak sedarkan diri. Melihat keadaan mangsa, saya terus melakukan CPR. Selang beberapa minit, mangsa mulai sedar dengan memuntahkan air,” ujar Wan.
Menurut seorang saksi yang juga pekerja sebuah kedai kopi di tebingan Sungai Rajang berkata, dia ada ternampak warga emas itu berada di tebingan sungai berkenaan pada pagi tersebut.
“Mula-mula, saya fikir warga emas terbabit sedang mandi, tetapi selang beberapa saat, saya lihat dia sudah berada di dalam air dan dihanyutkan oleh arus sungai yang agak deras.
“Melihat kejadian itu, saya terus memberitahu beberapa orang yang berada di terminal bot ekspres untuk menyelamatkan mangsa,” katanya.
Orang awam yang turut menyaksikan kejadian tersebut menghubungi pihak hospital dan mangsa dikejarkan ke Hospital Sarikei untuk mendapatkan rawatan lanjut.