Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

Hentikan stigma dan diskriminasi terhadap kanak-kanak HIV: Marina

$
0
0

KUALA LUMPUR: Masyarakat perlu menghentikan stigma dan diskriminasi terhadap kanak-kanak penghidap HIV supaya mereka dapat turut menikmati peluang dan ruang dalam persekitaran yang lebih kondusif.

Bekas Pengerusi Yayasan AIDS Malaysia (MAF) Datin Paduka Marina Mahathir berkata, masyarakat sebaliknya patut menambah pengetahuan yang tepat mengenai HIV termasuk bagaimana mencegahnya daripada merebak.

“Orang ramai patut mengambil tanggungjawab untuk mengetahui maklumat terkini mengenai HIV dan pihak kerajaan juga perlu membanyakkan lagi program kesedaran mengenai HIV.

“Ini kerana masih ramai yang tidak mengambil berat hal ini. Hakikatnya ramai kanak-kanak yang menghidap HIV perlu diberikan perhatian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika menjadi tetamu khas program ‘Bernama Today’ di Saluran Astro 502 di sini semalam.

Menurut statistik Kementerian Kesihatan, terdapat 94,841 kes HIV yang terkumpul sejak 1986 dengan 2,324 orang (2.4 peratus) adalah individu yang berusia 19 tahun ke bawah.

Statistik pada 2011 pula menunjukkan sebanyak 120 orang kanak-kanak dan belia berusia 19 tahun ke bawah adalah antara 3,479 penghidap kes baharu HIV pada tahun berkenaan.

Marina berkata sebagai warganegara prihatin, masyarakat perlu peka untuk menjaga dan melindungi kanak-kanak daripada dijangkiti HIV.

“Menentang stigma dan diskriminasi terhadap penghidap HIV adalah sama penting dengan pencarian ubat penyembuh serta mencegah dan mengawal epidemik global ini,” katanya.

Menurutnya, generasi muda digalakkan menyertai program gaya hidup sihat dan kempen kesedaran HIV supaya mereka tidak mudah diracuni stigma negatif dan terlibat dengan kegiatan yang membolehkan HIV/AIDS merebak.

Sebagai aktivis membendung penularan HIV, Marina dipilih antara 26 personaliti dalam program ‘L’oreal Professional: Colour For Life Campaign’.

Program kerjasama L’oreal Professional dan MAF di pusat beli-belah Mid Valley Centre Court pada 21 dan 22 Okt itu akan memberi peluang kepada orang ramai menggunting rambut dengan harga serendah RM20 bagi mengumpul dana membantu kanak-kanak menghidap HIV. — Bernama


Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>