Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

Projek getah berhasil tinggi untuk Penan Murum

$
0
0

UNTUK KENANGAN: Jabu (tengah) bersama tetamu kehormat lain bergambar kenangan dengan peserta Kursus Pertanian Penempatan Semula Murum di Kuching, semalam.

Komponen tersebut akan menjadi teras kepada punca pendapatan penduduk penempatan semula Murum

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang merancang untuk melibatkan penduduk penempatan semula Murum dengan projek penanaman getah berhasil tinggi.

Menurut beliau, komponen tersebut akan menjadi teras kepada punca pendapatan penduduk.

Jelas Jabu yang juga Menteri Pemodenan Pertanian projek tersebut telah dimulakan di penempatan semula kaum Penan di Long Beruang, Ulu Baram melibatkan 70 keluarga dan diyakini berupaya memberi pendapatan lumayan.

“Satu projek yang saya lihat akan menjadi komponen bagi kaum Penan di penempatan semula Murum adalah penanaman getah berhasil tinggi.

“Jika ada permohonan nanti, kita akan membawa mereka melawat ke tempat projek di Long Beruang pada tahun depan untuk mereka melihat sendiri pengalaman kaum Penan di situ mengusahakan tanaman getah tersebut,” katanya pada penutupan Kursus Pertanian Penempatan Semula Murum di sini, semalam.

Selain itu, Jabu berkata, beliau akan berusaha memperhebatkan latihan dari segi pertanian tanaman atau ternakan kepada penduduk tersebut.

“Saya mahu memberi seberapa banyak ruang kepada masyarakat Penan untuk keluar daripada belenggu kemiskinan.

“Mereka mempunyai kawasan yang berpotensi untuk menjana pendapatan misalnya menerusi tanaman sayuran atau penternakan ikan, ayam dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu, di samping sosioekonomi penduduk, Jabu berkata kerajaan negeri turut memastikan anak-anak kaum Penan di situ tidak tercicir dalam pelajaran.

“Untuk itu, kerajaan akan menyediakan sebuah sekolah untuk anak-anak kaum Penan yang dipindahkan ke Tegulang dan Metalun,” katanya.

Kini kata Jabu kebajikan pelajaran kanak-kanak kaum Penan telah terpelihara dengan tertubuhnya sistem K9 di SK Long Bedian.

Katanya hampir 70 peratus pelajar yang menuntut di situ terdiri daripada anak-anak kaum Penan.

“Sistem ini telah membawa banyak kebaikan kepada Sarawak lebih-lebih lagi kepada kaum Penan di mana anak-anak mereka telah berpeluang mengikuti pelajaran sehingga ke sekolah menengah,” katanya.

K9, SK Long Bedian merupakan inisiatif kerajaan dalam menyediakan kemudahan pendidikan kepada anak-anak masyarakat Penan yang bermastautin di kawasan terpencil untuk meneruskan pelajaran sehingga ke sekolah menengah iaitu dari tahun satu hingga tingkatan tiga.

Ia sekali gus menangani masalah di mana dahulunya, anak-anak kaum Penan yang tamat darjah enam sukar untuk menyambung pelajaran ke peringkat sekolah menengah kerana kedudukan mereka yang jauh.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>