KUALA LUMPUR: Ribuan penduduk di sekitar Desa Pandan di sini gempar dan bimbang apabila berlakunya tanah mendap di tapak projek pangsapuri berservis di Jalan 4/76 Desa Pandan, sebuah bekas kawasan lombong, kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 8 malam itu dipercayai akibat struktur tanah itu mendap membentuk sebuah kawah di sebahagian jalan, yang terletak berhampiran projek 474 unit pangsapuri setinggi 23 tingkat itu, setelah hujan lebat melanda ibu negara sejak beberapa hari lepas.
Tinjauan Bernama mendapati kedudukan tapak projek itu pula berdekatan dengan kawasan perumahan Pangsapuri Delima dan kira-kira 100 meter dari Sekolah Kebangsaan Desa Pandan.
Saiful Azizul Hanafiah, 29, yang menetap di Desa Pandan sejak 12 tahun lepas, berkata beliau menyedari kejadian itu pada jam 8 malam apabila terdengar bunyi kuat dari rumah, menyebabkannya tergerak untuk melihat apa yang berlaku.
“Saya terdengar bunyi kuat macam guruh, rumah saya kira-kira 100 meter sahaja dari tempat itu (projek pangsapuri), saya keluar lihat tiang elektrik dan papan tanda semua dah jatuh ke bawah. Jadi kalau hujan berterusan, saya tak tahu apa akan jadi,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini malam kelmarin.
Menurut Saiful, tempat pembinaan pangsapuri itu dahulunya adalah kawasan lombong dan dikhuatiri tidak sesuai untuk pembinaan pangsapuri berkenaan.
“Diharap pihak pemaju jangan pentingkan keuntungan sahaja dan harus jaga kebajikan penduduk di sekeliling,” katanya.
Mohd Noor Adam, 54, kakitangan swasta berkata beliau berada di sebuah kedai makan berhampiran ketika kejadian berlaku dan khuatir jika tanah mendap itu bertambah teruk disebabkan musim tengkujuh sudah hampir tiba.
“Saya tinggal di kawasan ini dan saya tahu ia adalah sebuah kawasan lombong tinggal dalam tahun 70-an. Jadi kami suarakan kebimbangan kami kepada pemaju tapi projek itu diteruskan,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Operasi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia Daerah Dang Wangi Hazwan Abdul Ghani ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira jam 11.30 malam dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
“Kami juga menutup jalan yang terlibat untuk sementara bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku,” katanya sambil menambah seorang pegawai dan lima anggota dikerahkan ke tempat itu.
Katanya pemantauan dibuat di kawasan terbabit kerana masih terdapat pergerakan tanah. — Bernama