JASIN: Taman Rimbunan Kaseh yang merupakan projek pemodenan transformasi luar bandar bernilai RM27 juta di Serkam di sini bukan satu projek pembaziran, kata Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Datuk Yaakub Md Amin.
Beliau berkata perkara itu diakui Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang yang berpuas hati dengan pelaksanaan projek melalui peruntukan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM24 juta dan MAIM RM3 juta.
“Beliau (Ambrin) bersetuju tidak ada satu pun yang membazir pada projek ini, bajet yang diberikan Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Perdana Menteri dan MAIM dapat mengatur hidup dan menyumbang kepada penduduk yang mempunyai hasrat besar untuk hidup lebih baik dan dapat menyara keluarga masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas mengikuti lawatan kerja Ambrin ke projek berkenaan di sini.
Katanya, 100 peserta program melibatkan golongan asnaf yang menerima bantuan zakat bulanan daripada MAIM kini dapat keluar daripada kepompong kemiskinan apabila memperoleh pendapatan RM1,500 sebulan.
Yaakub berkata setiap keluarga yang terpilih juga menerima kediaman seluas 950 kaki persegi dengan kos sewaan hanya RM100 sebulan.
Beliau berkata projek yang dibangunkan IRIS Corporation Berhad itu telah mengeluarkan hasil tanaman termasuk ‘rock melon’, padi selain ternakan ikan keli dan ‘Jade Perch’ yang kini dipasarkan di dalam dan luar negara.
Malah, katanya, projek yang bermula pada 27 Jun tahun lepas itu juga menjadi satu daripada destinasi agro pelancongan terbaharu di Melaka. — Bernama