Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

Agong: Usah terpengaruh pergolakan di Timur Tengah

$
0
0

UNTUK JEMAAH: Tuanku Abdul Halim (dua kanan) bersama Tuanku Hajah Haminah (kanan) mengaminkan doa pada majlis mengucapkan selamat jalan kepada jemaah haji penerbangan pertama terus dari Alor Setar ke Madinah di KomplekS Tabung Haji Kepala Batas Alor Setar di Alor Setar, semalam. Turut hadir Tunku Annuar (dua kiri) dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir (kiri) — Gambar Bernama

Jemaah haji diseru elak tindakan yang jejas nama negara

ALOR SETAR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah semalam menyeru agar jemaah haji tidak terpengaruh dengan pergolakan yang berlaku di Timur Tengah sepanjang menunaikan ibadah haji di Tanah Suci.

Seri Paduka merujuk kepada pergolakan yang kini berlaku di beberapa negara Islam di Timur Tengah seperti Syria dan Mesir.

Sebarang tindakan yang tidak baik akibat terpengaruh dengan apa yang berlaku di negara-negara berkenaan bukan sahaja akan menjejaskan nama negara malah turut menjejaskan hubungan baik antara kerajaan Malaysia dan Arab Saudi, titah Seri Paduka.

“Ikutlah segala peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi supaya segala urusan dapat dipermudah dan berjalan lancar,” titah Seri Paduka pada majlis mengucapkan ‘Selamat Jalan kepada Jemaah Haji’, bagi penerbangan terus pertama Alor Setar-Madinah di Kompleks Haji, Kepala Batas dekat sini semalam.

Yang di-Pertuan Agong juga menasihatkan para jemaah supaya sentiasa menjaga kesihatan dan kebersihan diri agar urusan ibadah tidak terjejas.

“Haji yang sempurna memerlukan pengorbanan yang jitu dari segi tenaga, masa, wang dan perasaan. Pengorbanan itu bermula dengan persiapan dari segi mental, fizikal dan spiritual yang perlu berada pada tahap baik,” titah Seri Paduka.

Yang turut berangkat mengucapkan selamat jalan ialah Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah; Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah serta anggota Jemaah Pemangku Sultan, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah; Datuk Seri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan Tan Sri Tunku Puteri Intan Shafinaz Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Penerbangan terus dari Alor Setar ke Madinah semalam  merupakan yang pertama membawa bakal jemaah haji dari Wilayah Utara dengan pesawat Boeing 777, Penerbangan Malaysia.

Menurut kenyataan Tabung Haji (TH), penerbangan itu merupakan penambahbaikan yang dilaksanakan TH dalam memberikan perkhidmatan terbaik dan berkualiti kepada jemaah haji negara.

Lima penerbangan terus dijadual bermula semalam hingga 13 Sept melibatkan hampir 1,400 jemaah haji. Semalam seramai 279 jemaah berlepas kira-kira jam 11.30 pagi. — Bernama


Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

Trending Articles



<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>