Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

Kemas kini kehakiman syariah

$
0
0

SIMBOLIK: Taib mengetuk tukul kehakiman pada perasmian Persidangan Tahunan Pegawai Syariah Seluruh Malaysia Ke-15, di Kuching semalam. — Gambar Muhamad Rais Sanusi

Ia perlu ditambah baik sesuai dengan perubahan zaman, proses globalisasi sekarang

KUCHING: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata pentadbiran kehakiman syariah perlu dikemas kini dan ditambah baik sesuai dengan perubahan zaman serta proses globalisasi yang berlaku sekarang.

Beliau berkata perubahan semasa dan corak ekonomi ekoran proses globalisasi telah menyebabkan masyarakat Islam mengalami pelbagai masalah sosial dan ekonomi.

Proses globalisasi menurutnya telah mendedahkan masyarakat Islam khasnya generasi muda terdedah kepada penyebaran pelbagai maklumat yang mempunyai pengaruh positif dan negative, menuntut mereka membuat pilihan dengan bijak.

Selain itu katanya, perubahan semasa dan proses globalisasi telah menyebabkan sistem keluarga berubah kerana masyarakat berubah ekoran perubahan ekonomi sehingga menimbulkan masalah sosial seperti perceraian dan pengabaian penjagaan anak-anak.

“Oleh sebab itu, maka kita tidak boleh membiarkan pentadbiran undang-undang Islam tidak dikemas kini dan ditambah baik supaya ia sesuai dengan perubahan zaman.

“Adalah tidak sukar bagi masyarakat Islam mencari jalan penyelesaian bagi menghadapi keadaan yang berubah kerana ia sememangnya sudah menjadi sebahagian daripada tradisi dalam Islam.

“Hanya kita cuba mengkaji semula segala khazanah dan legasi yang terkubur kerana kita lama menghadapi kemunduran di bawah penjajah dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Tahunan Pegawai Syariah Seluruh Malaysia Ke-15 di sebuah hotel di sini semalam.

Taib menambah, sistem keluarga hari ini sudah jauh berubah misalnya membenarkan anak-anak gadis mereka melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi serta menyandang jawatan setanding dengan kaum lelaki.

Kaum wanita hari ini ujarnya memainkan peranan sama penting dengan lelaki dalam membangunkan negara dalam pelbagai aspek kerana tugas mereka tidak hanya terhad melakukan kerja-kerja rumah.

“Ini memberi kesedaran bahawa wanita sekarang ini tidak boleh lagi dikongkong menggunakan undang-undang lama, terpaksa kita mencari dalam undang-undang sedia ada itu dan daripada sejarah Islam sendiri bagaimana peranan wanita telah berubah sama dengan pertukaran zaman serta pembangunan masyarakat mereka sendiri.

“Oleh sebab itu dalam menjalankan undang-undang Islam, kita patut mengambil kira mengenai pembangunan wanita supaya sistem pentadbiran undang-undang kita dapat dilaksanakan dalam masyarakat kita dan mendapat sokongan daripada kaum hawa sendiri,” jelasnya.

Selain itu katanya, penambahbaikan sistem pentadbiran undang-undang syariah negara perlu mengambil kira aspek penjagaan anak-anak yang menjadi mangsa perceraian ibu bapa begitu juga golongan ibu tunggal.

Beliau berkata sebuah institusi dan undang-undang khas perlu diwujudkan bagi membantu anak-anak mangsa perceraian, ibu yang diceraikan atau tunggal dan anak yakim piatu dengan baik terutama daripada aspek pembelajaran dan kebajikan anak-anak.

“Cara menjaga anak yatim piatu misalnya tidak boleh kekal seperti yang lama, sebaliknya mereka perlu membesar dalam suasana cukup baik sehingga membolehkan mereka melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.

“Ini hanya dapat dilakukan kalau ada institusi yang cukup baik dan dijaga oleh ketua-ketua masyarakat yang berminat.

“Semua ini patut kita rangkumkan dalam cara kita mentadbir undang-undang Islam supaya apabila satu-satu keputusan diambil ia akan memberi kesan yang baik kepada wanita dan anak-anak kurang bernasib baik di negara ini,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani, Setiausaha Persekutuan Datuk Md Yahaya Basimin dan Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Tan Sri Ibrahim Lembut dan Ketua Hakim Syarie Sarawak Datu Mohamed Ali Mohamed Sheriff.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

Trending Articles



<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>