Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

Patuhi langkah keselamatan bagi elak kebakaran

$
0
0

Ada kaitan antara kecuaian, kurang kesedaran terhadap langkah pencegahan elak tragedi BINTULU: Penduduk di bahagian ini khususnya di kawasan perkampungan dan rumah panjang disaran mematuhi langkah-langkah keselamatan bagi mengelakkan berlakunya tragedi kebakaran di kediaman masing-masing.

Pegawai Daerah Bintulu Tuah Suni berkata sememangya ada kaitan antara kecuaian dan kurangnya kesedaran di kalangan orang awam terhadap langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan tragedi berlaku.

“Maklumat yang kami terima tentang kejadian kebakaran melibatkan kebakaran rumah yang berlaku hampir setiap minggu di Bintulu rata-ratanya berpunca daripada kecuaian penghuninya selain litar pintas,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat berkaitan bencana di Pejabat Residen, di sini semalam.

Katanya contoh paling dekat menyebabkan kebakaran berlaku di kawasan kediaman ialah penghuni yang tidak menggunakan sistem pendawaian elektrik betul mengikut spesifikasi yang betul serta arus elektrik terlebih muatan hingga menyebabkan berlakunya kebakaran.

“Justeru, sebagai pengerusi Jawatankuasa Bencana di sini saya menyarankan agar sistem pendawaian elektrik yang lama mencecah puluhan tahun digantikan dengan sistem pendawaian baharu dan lebih selamat,” jelasnya.

Beliau mengulas mengenai beberapa kes kebakaran yang melibatkan kediaman atau rumah yang berlaku di Bintulu mengakibatkan kerugian yang agak banyak.

Tuah yang merupakan pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam Bintulu menyatakan kekesalan berikutan beberapa pili bomba di kawasan kediaman atau perumahan dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab.

Perbuatan vandalisme sebegini sememangnya harus dibendung dengan pendekatan tertentu terutama yang mempunyai anak nakal serta golongan belia yang didapati berkelakuan tidak senonoh serta selalu melakukan perbuatan sedemikian.

“Para penduduk boleh membuat aduan sekiranya pili bomba di kawasan mereka telah dirosakkan dan tidak dapat berfungsi dengan baik bagi mengelak timbulnya kesulitan memadamkan kebakaran sekiranya musibah berkenaan berlaku,” katanya.

Terdahulu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu Di-Hatta Gobel berkata, kos bagi memperbaiki setiap pili bomba yang rosak agak mahal mencecah RM2,000 manakala sekiranya mendapatkan produk baharu berharga RM4,000 seunit.

Justeru katanya, adalah menjadi tanggungjawab setiap penghuni di kawasan perkampungan agar menjaga setiap pili bomba yang ditempatkan di kawasan mereka bagi memastikan ia dapat berfungsi dengan baik tatkala memerlukannya.

“Berdasarkan rekod yang dicatatkan oleh pihak kami, sebanyak 67 kes kebakaran telah direkodkan berlaku di bahagian ini dari awal tahun hingga Ogos ini melibatkan kerugian berjumlah RM11 juta,” ujarnya.

Bagaimanapun, pihak bomba dan penyelamat dapat menyelamatkan harta benda dengan anggaran nilai RM127 juta dan berusaha mengurangkan kerugian akibat berlakunya kebakaran.

Hadir sama Temenggung Abang Suhaili Mohamad dan Temenggung Barry Yek.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

Trending Articles



<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>