KUCHING: Seorang pelajar universiti swasta tampil membuat laporan polis setelah mendapati rumah sewa di Jalan Simpang Tiga dipecah masuk pencuri, petang kelmarin.
Mangsa yang berusia 22 tahun menyedari insiden itu sekitar jam 4 petang setelah mendapati beberapa barangan elektrik telah hilang.
Pencuri yang menggeledah kesemua lima bilik rumah tersebut dipercayai masuk menerusi balkoni tingkat atas.
Sementara itu, seorang wanita dicederakan peragut di tangan ketika cuba mempertahankan beg tangannya daripada dilarikan di sebuah pasar raya di Samariang, semalam.
Difahamkan ketika insiden itu, mangsa hendak keluar dari kereta apabila lelaki tidak dikenali membuka pintu keretanya dan menarik beg tangannya.
Dalam pergelutan itu, suspek kemudiannya mengeluarkan senjata tajam dan mengelar tangan mangsa.
Selain mengalami kecederaan itu, mangsa kehilangan telefon bimbit, dokumen peribadi dan sejumlah wang.
Kedua-dua mangsa telah membuat laporan polis untuk tindakan.
Dalam kes berasingan, dua individu dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) setelah terminum racun.
Ahli keluarga seorang juruukur dari Kampung Sikog menghubungi pihak ambulans setelah mendapati lelaki dalam lingkungan usia 30-an seperti tidak sihat.
Dalam perjalanan ke HUS, didapati lelaki berkenaan muntah-muntah dan dipercayai telah meminum racun.
Manakala sekitar jam 9 pagi semalam, seorang wanita berusia 49 tahun yang dikatakan mempunyai masalah mental turut dikejarkan ke HUS oleh ambulans.
Ahli keluarganya yang menyedari dia terminum sedikit racun membawa mangsa ke HUS namun mangsa enggan keluar dari kereta.
Mangsa dibawa pulang semula ke rumah sebelum ahli keluarganya menghubungi pihak ambulans.
Setelah dipujuk, mangsa akhirnya bersetuju untuk menaiki ambulans berkenaan bagi mendapatkan rawatan.
Keadaan dua-dua mangsa dilaporkan stabil.