
CEMERLANG: Alexander (dua kanan) menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2012 kepada Doria Ragu daripada Tabika KEMAS Mas Gading di Dewan Suarah Kuching semalam.
KUCHING: Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) adalah penyumbang terbesar dalam menyediakan peluang pendidikan kepada kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun di negara ini khususnya Sarawak.
Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi berkata penglibatan KEMAS dalam pembukaan kelas tabika dilihat amat penting di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).
Sebagai penyumbang terbesar dalam menyediakan pendidikan prasekolah, KEMAS katanya telah meletakkan sasaran membuka sebanyak 2,500 kelas tabika bermula dengan 500 kelas pada 2010, diikuti 1,000 kelas pada 2011 dan 1,000 b kelas lagi pada 2012.
Malah katanya, KEMAS telah berjaya mencapai sasaran tahun 2011 dengan membuka 1,150 kelas dengan jumlah keseluruhan penyertaan kanak-kanak seramai 218,806 orang.
“KEMAS Sarawak turut mencatat kecemerlangan apabila berjaya membuka 1,499 kelas tabika pada tahun ini berbanding 725 kelas sebelum NKRA iaitu pertambahan sebanyak 774 kelas sejak tiga tahun pelaksanaan NKRA.
“Malah penubuhan taksa KEMAS Sarawak turut mengalami perubahan positif dengan pembukaan 51 taska sehingga 2013, selain turut merancang membuka 12 taska lagi pada tahun 2014.
“Dengan adanya usaha dan kejayaan seumpama ini, masyarakat bukan sahaja dapat mengenali KEMAS dengan lebih dekat lagi, malah dapat menilai pencapaian KEMAS dalam usaha meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2012 KEMAS Sarawak di Dewan Suarah Kuching di sini semalam.
Mengulas mengenai majlis anugerah tersebut, ia merupakan medium penghargaan perkhidmatan awam dan kerajaan kepada anggota jabatan yang cemerlang serta menyumbang kepada kemajuan jabatan.
Seramai 1,404 orang warga KEMAS dari seluruh negara dipilih untuk menerima anugerah tersebut berdasarkan prestasi cemerlang sepanjang 2012 dengan 171 orang adalah daripada KEMAS Sarawak.
Dalam pada itu kesemua penerima anugerah semalam masing-masing menerima Sijil APC dan Sijil Simpanan Premium bernilai RM1,000.
Turut hadir pada majlis anugerah itu semalam, Menteri Muda Kemajuan Luar Bandar Julaihi Narawi, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) KEMAS Malaysia Amiruddin Ariffin serta Pengarah KEMAS Negeri Sarawak Abang Rabaee Abang Muhi.