Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

Biar peralihan kuasa lancar

$
0
0

RASMI: Taib memotong ketupat gergasi sebagai simbolik perasmian sambil ditemani (dari kanan) Aidel, Ali, Julaihi, Karim dan Nancy. — Gambar Muhammad Rais Sanusi

ASAJAYA: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud akan menyerah pucuk kepimpinan kepada pemimpin baharu apabila tiba masanya nanti.

Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu berkata, sebelum beliau mengundur diri daripada arena politik beliau akan memastikan peralihan kuasa berjalan dengan teratur.

Beliau memberitahu bahawa PBB mempunyai ramai pemimpin muda yang telah dilatih untuk meneruskan kesinambungan kepimpinan parti pada masa depan.

“Suatu masa nanti saya akan mengundur diri kerana saya semakin hari bukannya semakin muda tetapi semakin tua sebab itu pemimpin muda (dalam PBB) muncul bagi menggantikan orang lama seperti Tan Sri Alfred Jabu (Numpang) dan saya sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah-tamah Aidilfitri Peringkat Bahagian Samarahan di Kompleks Sukan Asajaya di sini semalam.

Malah, Taib berkata sebab itu PBB memperkenalkan 10 muka baharu di kalangan ahli parti pada Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Umum lepas.

“Ini penting bagi memastikan PBB terus menjadi tunjang kepada pembangunan yang berterusan di negeri ini,” tambahnya lagi.

Selain itu, beliau memberitahu bahawa kepimpinan yang diterajui Barisan Nasional (BN) tidak mengamalkan politik untuk kepentingan peribadi.

“Kepimpinan memahami keadaan masyarakat secara menyeluruh sebab itu sepanjang 50 tahun Sarawak diperintah kerajaan BN, kita berjaya membangunkan masyarakat di luar bandar setara dengan masyarakat bandar.

“Justeru, PBB akan terus memainkan peranan penting untuk membela nasib masyarakat Bumiputera di Sarawak,” ujarnya.

Pada masa yang sama, beliau menegaskan bahawa pihak pembangkang bukanlah parti yang dapat memahami dan memenuhi keperluan rakyat negeri ini.

“Ada yang datang ke sini (Sarawak) mahu merebut kuasa namun alhamdulillah masyarakat kita bukan senang hendak dipengaruhi,” ujarnya.

Justeru, beliau berharap kepimpinan yang dibawa oleh kerajaan BN akan terus membawa arus pembangunan untuk masyarakat di Sarawak secara keseluruhannya bagi mencapai status negara maju menjelang 2020 nanti.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri, Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Muda Pelaburan dan Promosi Julaihi Narawi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang Datuk Seri Mohammad Ali Mahmud dan ADUN Sadong Jaya Aidel Lariwoo.

 


Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>