
HARGA BERPATUTAN: Wan Uzir memantau barangan yang terdapat di Kedai COOP1M, Kedai Usaha Sama Pekerja Sarikei Berhad, semalam.
SARIKEI: Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata terdapat 12 individu dari seluruh negeri ini memohon untuk membuka Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M).
Katanya semua permohonan itu masih dalam pertimbangan dengan mengambil kira penilaian daripada beberapa aspek serta syarat asal permohonan.
“Bagi pelaksanaan KR1M yang dikhaskan setiap satu di sebuah Parlimen, yang diselenggarakan oleh kerajaan hingga ke hari ini terdapat tujuh buah telah beroperasi.
“Masing-masingnya lima di kawasan Kuching, satu di Sri Aman dan satu di Sibu.
“Sementara itu, di bahagian Miri pula sedang dalam proses pelaksanaan dan berkemungkinan dibuka tidak lama lagi.
“Berdasarkan maklumat dan maklum balas yang kami terima daripada masyarakat, misi pelaksanaan dan matlamat penubuhan KR1M telah memberi manfaat kepada rakyat,” katanya ketika ditemui sewaktu mengunjungi Kedai COOP 1Malaysia (COOP1M) yang pertama di bandar ini semalam.
Kedai COOP1M tersebut adalah Kedai Usaha Sama Pekerja Sarikei Berhad yang terletak di Jalan Berek, Sarikei.
Menurut Wan Uzir, berdasarkan operasi bersama dilancarkan oleh KPDNKK Cawangan Sarikei selama tiga hari dari 4 hingga 6 September lalu, terdapat tujuh kes dikendalikan.
“Daripada tujuh kes itu, tiga kes melibatkan Akta Perihal Dagangan (APD), dua kes Akta Timbang dan Sukat (ATS) 1972, satu kes Akta Perlindungan Pengguna (APP) 1999 dan satu kes Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.
“Semua kes tersebut berjaya kami kendalikan dan semua yang terlibat dengan kesalahan berkenaan telah kami kenakan tindakan dengan kompaun,” katanya.
Sementara itu, Ketua KPDNKK Cawangan Sarikei Mohamad Zawawi berkata berdasarkan pemantauan secara keseluruhannya para peniaga di bandar ini mematuhi segala peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkaitan, terutama dalam bidang tugas KPDNKK.
“Di bandar ini, 95 peratus peniaga khususnya di kawasan Pasar Sentral telah mematuhi setiap peraturan yang ditetapkan.
“Kita berharap prestasi ini akan dapat kita pertingkatkan terutama dalam usaha kerajaan memelihara hak pengguna,” jelas Mohamad.
Turut hadir Pemangku Pengurus Kedai COOP1M, Kedai Usaha Sama Pekerja Sarikei Berhad Awangku Perseh, Pengerusi Koperasi Lau Sie Hui serta Penolong Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Raffica Supaat.