KUCHING: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata kerajaan sedang memperkasakan 14 agensi di bawah portfolionya terutama dalam aspek nilai tambah perkhidmatan, kebajikan serta penglibatan aktif warga agensi-agensi terbabit.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong berkata ia merupakan usaha membantu kerajaan menyampaikan maklumat dan perkhidmatan yang cekap serta berkualiti.
“Penekanan aspek ini penting bagi melahirkan warga kerja yang sentiasa mempunyai nilai tinggi dalam perkhidmatan sama ada semasa bertugas mahupun di luar pejabat.
“Usaha untuk mengubah dan menambah baik agensi-agensi ini diharap mampu menjadi pembakar semangat kepada agensi kerajaan yang lain untuk menjadi lebih efisien,” katanya ketika berucap pada Majlis Beramah Mesra Bersama Agensi di sini, malam kelmarin.
Pada masa sama, beliau turut menekankan kepentingan bekerja sama dalam usaha membangunkan negara.
“Pelbagai program transformasi bagi meningkatkan produktiviti dan motivasi pegawai serta kakitangan di bawah agensi masing-masing telah direncanakan.
“Walaupun orientasi perkhidmatan setiap agensi adalah berbeza, namun kita akan sentiasa mengamalkan semangat kekeluargaan dan saling membantu antara satu sama lain,” katanya.
Selain itu, Nancy turut mengulas mengenai 1Malaysia One Call Center (1MOCC) yang berperanan sebagai pusat panggilan setempat untuk menjawab segala pertanyaan, aduan, cadangan dan maklum balas rakyat melalui panggilan telefon, sistem pesanan ringkas (SMS) atau e-mel.
“Contoh terbaik untuk memaksimumkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat adalah 1MOCC.
“Jadi pada kesempatan ini saya ingin menyarankan agensi-agensi di bawah portfolio saya agar mampu bersatu dan membentuk satu kerjasama dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.
Turut hadir Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya Aidel Lariwoo.