KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP) menerima banyak aduan daripada kalangan individu Muslim mengenai kegagalan permohonan bantuan kebajikan daripada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS).
Pembantu khas kepada Pengerusi DAP Negeri Abdul Aziz Isa berkata beberapa individu tampil membuat aduan kepada pihaknya mengenai kegagalan mendapat bantuan dari TBS.
Katanya sebahagian daripada mereka yang memohon dilihat layak untuk menerima bantuan malangnya mendapat maklum balas yang sebaliknya daripada pihak TBS.
Beliau yang kecewa dengan perkara itu berkata TBS seharusnya membantu golongan Muslim yang miskin dan bukan sebaliknya, membelanjakan wang untuk kompleks mewah.
“Tahun lepas sahaja, Baitulmal membayar bantuan bernilai RM36.4 juta, tetapi ia jauh lebih rendah berbanding jumlah yang dibelanjakan untuk Kompleks Islam Sarawak yang baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian pembukaan Pusat Khidmat DAP Kawasan DUN Tupong di Matang dekat sini semalam.
Perasmian pembukaan pusat khidmat berkenaan telah dilakukan oleh Pengerusi DAP Negeri Chong Chieng Jen merangkap Ahli Parlimen Bandar Kuching dan ADUN Kota Sentosa.
Tambah Aziz yang akan menerajui pusat khidmat tersebut, terdapat segelintir golongan Muslim yang miskin hanya menerima bantuan sekali seumur hidup daripada TBS.
“Zakat yang diterima Baitulmal daripada pelbagai badan korporat seharusnya diagihkan kepada golongan yang memerlukan.
“Sebagai contoh, sebuah keluarga dengan 10 orang anak sepatutnya layak untuk bantuan kebajikan meskipun pendapatan gabungan bulanan mencapai RM5,000,” tambahnya.
Susulan perkara itu, Aziz berkata pihaknya telah membuat gesaan kepada TBS untuk menyediakan laporan kewangan dari 2002 hingga 2012.
Surat katanya, telah dihantar kepada TBS bertarikh 20 Ogos namun sehingga kini pihaknya belum menerima sebarang maklum balas daripada pihak berkenaan.