Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

Keluarga mendiang Eddy terima pampasan di bawah SIMS

$
0
0

HENDRY (kanan) menerima replika cek bayaran pampasan di bawah SIMS daripada Farizul.

SANDAKAN: Keluarga mendiang Eddy Wallfired Eleazor Benjasor, 13, yang maut dalam kemalangan melibatkan bas sekolah dan lori muatan simen pada 23 Ogos lepas menerima pampasan di bawah Skim Insurans Murid Sekolah (SIMS).

Ketua Bahagian Perundangan dan Sekretariat Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Farizul Hazli Baharom menyampaikan cek bernilai RM102,500 daripada SPAD kepada bapa mendiang, Hendry Sutara, 36, dalam satu majlis di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Segaliud, kelmarin.

Selain itu, keluarga mangsa turut menerima pampasan sebanyak RM5,000 di bawah Skim Takaful Pelajar Sekolah Malaysia (TPSM).

Menurut Farizul, SIMS dilaksanakan oleh SPAD dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) selain mendapat sokongan Takaful Malaysia sebagai syarikat insurans yang mengeluarkan polisi perlindungan kepada murid-murid sekolah.

Katanya, perlindungan diberikan bergantung kepada pelesenan bas-bas sekolah yang dikeluarkan SPAD bagi Semenanjung Malaysia dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) bagi Sabah dan Sarawak.

“Ini bermaksud perlindungan ini hanya untuk bas-bas sekolah yang sah melalui pemeriksaan di Puspakom serta mengikut syarat-syarat lesen yang ditetapkan. Dan dari segi murid-murid, perlindungan diberi untuk mereka yang berdaftar dengan KPM.

“Itu skop perlindungan dan kita berharap agar skim ini dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang,” katanya kepada pemberita di SMK Segaliud.

Menurut Farizul, setakat ini pihaknya telah menerima dan membuat bayaran pampasan terhadap tiga kes tuntutan di Semenanjung, bagaimanapun kesemuanya hanya melibatkan kes kecederaan.

Beliau berkata, bagi tuntutan melibatkan kematian, kes mendiang Eddy merupakan yang pertama di negara ini sejak pelaksanaan SIMS diumumkan dalam Bajet 2013.

Sementara itu, Hendry ketika ditemui melahirkan penghargaan dan kersyukuran kepada SPAD, Takaful Malaysia serta pihak SMK Segaliud atas bantuan yang diberikan.

Beliau berhasrat menggunakan bayaran pampasan itu untuk kegunaan pendidikan empat orang anaknya selain memperbaiki taraf kehidupan keluarga.

Hendry yang bekerja sebagai buruh tinggal bersama isterinya, Lamanah Kudirou, 32, dan empat orang anaknya yang berusia lingkungan 4 hingga 10 tahun di Kampung Sungai Kapor, Batu 28, Sandakan.

Dalam kejadian pada 23 Ogos lepas, seorang pelajar dan 21 lagi cedera termasuk lima parah dalam kemalangan yang berlaku kira-kira jam 12.15 tengah hari di kawasan simpang Ulu Dusun di Batu 31, Jalan Labuk.

Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Pembantu Pengurus Besar Takaful Malaysia, Kuala Lumpur, Noraini Yusof, Ketua Hal Ehwal Murid, Jabatan Pelajaran Negeri Sabah, Rahim Awang, Pengetua SMK Segaliud, Noor Hamizam Shah Md Nordin serta wakil LPKP Sandakan, Ismail Awang Damit.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>