KUCHING: Beberapa bakal rekrut tentera dari Sarawak dikatakan telah meninggalkan pusat latihan ketenteraan selepas mereka didapati tidak layak secara fizikal untuk menjadi tentera.
Mendedahkan perkara tersebut semalam, Pengerusi Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Cawangan Tasik Biru Jossem Daweg berkata, ia amat dikesali dan mendukacitakan.
Menurutnya, perkara seperti ini tidak akan berlaku sekiranya pemeriksaan akhir kesihatan dijalankan di negeri ini sebelum mereka dipanggil untuk melapor diri.
“Daripada apa yang telah dimaklumkan kepada saya, pemeriksaan kesihatan akhir hanya dilakukan di pusat latihan dan mereka yang gagal perlu dihantar pulang.
“Ini telah terjadi kepada hampir 100 pemohon dari Sarawak termasuk anak-anak ahli kita sendiri,” katanya yang dihubungi di sini, semalam.
Beliau kesal terhadap prosedur yang diguna pakai di mana kerajaan perlu membelanjakan wang yang banyak untuk membiayai kos penerbangan pemohon yang tidak berjaya.
“Apa yang menghairankan saya ialah mengapa pemeriksaan kesihatan tidak dilakukan di negeri ini seperti sebelum ini sedangkan terdapat kemudahan seperti Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT),” katanya.
Jossem menegaskan dengan berbuat demikian, hanya mereka yang layak akan dipanggil untuk melaporkan diri di pusat-pusat latihan ketenteraan dan ini sekali gus akan menjimatkan wang kerajaan dan masa semua pihak.
“Bayangkan, sesetengah ibu bapa begitu gembira apabila anak-anak mereka mendapat panggilan dari pejabat pengambilan dan kemungkinan besar keluarga mereka telah membuat majlis doa selamat bagi mendoakan kejayaan mereka.
“Bagaimanapun, beberapa hari kemudian anak-anak mereka balik ke rumah lagi,” katanya.