Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

Jangan kaitkan PEKIDA Sarawak dengan kegiatan kongsi gelap

$
0
0

SIBU: Jangan mengaitkan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA) Cawangan Sarawak dengan kegiatan kongsi gelap dan samseng di negeri ini.

Pengerusi PEKIDA Sarawak Musa Ainnie berkata, mengikut peraturan PEKIDA jika seseorang ahli tidak membayar yuran keahlian tahunan secara automatik keahliannya dalam pertubuhan terkeluar dan mereka tidak boleh lagi mengaku sebagai ahli.

“PEKIDA yang mempunyai lebih 10,000 ahli di seluruh Sarawak tidak mahu dikaitkan dengan mana-mana kegiatan kongsi gelap mahupun samseng,” katanya di sini semalam.

Beliau mengulas dakwaan sesetengah pihak kononnya kegiatan kongsi gelap dan samseng di negeri ini ada kaitan dengan ahli PEKIDA disebabkan pergerakan kumpulan terbabit ada yang menggunakan label (lambang) tiga warna PEKIDA iaitu hijau, kuning dan merah.

Musa yang menyokong usaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), kerajaan pusat dan kerajaan negeri mengambil tindakan tegas memburu kumpulan kongsi gelap dan samseng dalam Ops Cantas berkata, jika ahli-ahli PEKIDA sudah meninggalkan jemaah bermakna apa sahaja yang mereka lakukan tiada kaitan dengan pertubuhan.

Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi pada sidang di Kuala Lumpur baru-baru ini berkata, ahli geng 30, Tiga Line dan 77 adalah serpihan daripada PEKIDA yang menyertai kumpulan itu serta terbabit dalam jenayah.

“Walaupun ada yang mengaku mereka bekas ahli PEKIDA, namun selepas meninggalkan jemaah mereka bukan lagi seorang ahli,” jelasnya sambil menambah sesiapa sahaja boleh menggunakan label atau lambang PEKIDA tetapi segala tindak-tanduk mereka tiada kaitan dengan pertubuhan itu.

Menurut Musa, kebiasaannya apabila PEKIDA mahu menganjurkan sesuatu program atau aktiviti, jawatankuasa tertinggi termasuk beliau sendiri dimaklumkan dan lebih 10,000 ahli PEKIDA di negeri ini adalah ahli berdaftar dan membayar yuran setiap tahun.

Beliau berkata, sekiranya orang itu sebelum ini ahli pertubuhan, kemudian atas sebab tertentu tidak aktif lagi dan menyertai kumpulan lain, PEKIDA tidak menghalang mereka dan itu hak diri sendiri cuma adalah silap apabila ada sahaja kes tertentu nama PEKIDA dikaitkan.

Kepada ahli-ahli PEKIDA di negeri ini, beliau menasihati mereka supaya tidak terlalu beremosi, menjaga imej dan tidak merosakkan nama baik PEKIDA dan teruskan perjuangan mengikut agenda pertubuhan.

Dalam pada itu, Pengerusi PEKIDA Wilayah Persekutuan, Putrajaya dan Labuan Datuk Roslan Dahaman dalam satu kenyataan akhbar semalam berkata, pertubuhannya sah mengikut peraturan negara dan semua ahli mengikut undang-undang sedia ada dan pihaknya tidak pernah berkompromi dengan kesalahan membabitkan jenayah.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>