
MERDEKA: Tun Salahuddin (enam kiri) bersama Norkiah mengibarkan Jalur Gemilang pada majlis berkenaan di Sri Aman semalam. Turut kelihatan Jabu (lima kiri) dan Mawan (empat kanan).
SRI AMAN: Sarawak semakin membangun sejak bersama Persekutuan Malaysia dengan adanya pelaksanaan politik pembangunan yang sudah mara ke fasa kedua ketika ini.
Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata penyertaan Sarawak bersama Persekutuan Malaysia menjadikan Sarawak muncul sebagai negeri paling cepat membangun di negara ini ketika ini berbanding kedudukan tercorot pada 1980-an.
Menurut Taib, Sarawak pada awalnya kurang berpengalaman dalam membangunkan tanah secara komersil.
Tetapi katanya, hari ini Sarawak membuka lebih daripada satu juta hektar tanah terbiar untuk dijadikan sebagai ladang kelapa sawit.
“Di samping itu, Sarawak mampu membina rangkaian jalan raya sepanjang 30,000 kilometer termasuk jalan masuk kampung dan rumah panjang di seluruh negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi perutusan yang dibacakan Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang pada Majlis Perhimpunan Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-56 Peringkat Negeri di Kompleks Sukan Sri Aman, di sini semalam.
Turut hadir Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin dan isterinya, Toh Puan Datuk Patinggi Norkiah.
Menurut Taib, Sarawak mampu menubuhkan enam bahagian baharu iaitu Bintulu, Samarahan, Mukah, Betong serta Sarikei di mana pada pertengahan 1980-an ia merupakan bahagian termundur.
Bagaimanapun, Bintulu, Samarahan dan Mukah kini rancak membangun daripada kampung tradisi nelayan mara ke bandar perindustrian, bandar pusat kecemerlangan serta bandar pusat ilmu.
“Sarawak juga ketika ini memiliki dua universiti berstatus penuh dan empat universiti kampus termasuk dua universiti luar negara yang terkemuka.
“Di samping itu, pembangunan akademik mantap dengan wujudnya sejumlah 1,265 sekolah rendah dan 185 sekolah menengah yang melibatkan seramai 41,000 tenaga pengajar pada masa sekarang,” jelasnya.
Sehubungan itu, Taib berharap agar kepimpinan politik di negeri ini dikekalkan demi meneruskan usaha pembangunan yang sejajar dengan agenda menjadikan Sarawak sebagai negeri terkaya di Malaysia menjelang 2030 nanti.
Hadir sama Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom selaku pengerusi penganjur majlis, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Ghani, menterimenteri, menteri-menteri muda dan wakil rakyat Barisan Nasional (BN).