MIRI: Seorang lelaki warga emas berusia 67 tahun antara tujuh yang diberkas polis dalam serbuan di sebuah gelanggang sabung ayam haram di Batu Niah, di sini petang kelmarin.
Menurut sumber, bertindak atas maklumat diterima, sepasukan polis dari Balai Polis Pusat Miri yang menjalankan operasi cegah perjudian telah mengadakan serbuan ke sebuah kawasan lapang di belakang sebuah rumah panjang di Batu Niah.
Dalam serbuan yang dilakukan sekitar jam 6 petang itu, polis berjaya menahan tujuh orang lelaki berusia antara 25 hingga 67 tahun kerana disyaki hadir di sesi sabung ayam tersebut yang dipercayai dianjurkan secara haram.
Semasa serbuan, polis turut merampas dua ekor ayam sabung yang masih hidup serta beberapa perkakas perjudian yang lain.
Kesemua suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk disoal-siasat lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Polis (ACP) Mun Kock Keong ketika dihubungi mengesahkan tangkapan ke atas suspek terbabit.
Katanya kes akan disiasat mengikut Seksyen Seksyen 3 (1) Langkah-langkah Pencegahan Penganiayaan Terhadap Binatang (Sabung Ayam) 1953 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara enam bulan, jika sabit kesalahan.