KUCHING: Pendedahan penggunaan teknologi hijau dalam pembinaan perumahan dan bangunan atau ‘GreenRE’ antara fokus utama Ekspo Perumahan dan Harta Tanah Sarawak ‘SARBEX Total Living’ dari 20 hingga 22 September depan.
Setiausaha Agung Persatuan Pemaju Perumahan dan Harta Tanah Sarawak (SHEDA) Sim Kiang Chiok berkata, ekspo itu akan menampilkan beberapa program sampingan termasuk seminar ‘GreenRE.’
Jelasnya, ‘GreenRE’ adalah Standard Piawaian Hijau dalam pembinaan untuk mempromosikan bangunan yang tidak memberi ancaman kepada alam sekitar.
“Ekspo ini akan diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) selama tiga hari dari 20 hingga 22 September bermula jam 10 pagi hingga 9 malam.
“Pelbagai gerai akan disertai antara 40 dan 50 pemaju hartanah sekali gus menjadi pusat sehenti yang berguna kepada pemaju dan orang ramai yang ingin mengetahui maklumat lanjut tentang sektor perumahan pada masa kini,” katanya pada sidang media di pejabat SHEDA di sini, semalam.
Menurutnya, seorang pen-ceramah terkemuka yang mempunyai banyak pengalaman dalam bidang perniagaan dan penggunaan teknologi hijau, James Chua yang juga Pengarah Eksekutif GreenRE telah dijemput untuk mengendalikan seminar tersebut.
Sim memberitahu, selain seminar ‘GreenRE,’ empat seminar lain juga diadakan seperti tip cara-cara membeli harta tanah atau rumah pertama, Malaysia Rumah PertamaKu, seminar pencegahan kebakaran di tempat kerja dan rumah dan penjelasan laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC).
“Justeru, saya meminta orang ramai termasuk para pemaju di negeri ini turut serta dalam ekspo ini bagi mengetahui perkembangan terkini isu harta tanah dan perumahan di negara ini.
“Mereka yang berminat mengikuti ekspo ini boleh mendapatkan gerai kerana hanya tinggal beberapa gerai sahaja dan terhad,” katanya sambil menambah setakat ini terdapat 92 peserta yang mengikuti ekspo itu.
Untuk maklumat lanjut mengenai ekspo dan mereka yang ingin menyertainya boleh menghubungi Harea Chong atau Elfyra Nedia menerusi talian 082-366334.
Hadir sama pada sidang media semalam, Pengurus Besar SHEDA Tan Teck Kian, Pengurus Besar ACE Minnie Lim dan Pengurus Projek ACE Wayne Jong.