
PENGHARGAAN: Fatimah menerima cenderamata sebagai penghargaan daripada Mary (kanan) sambil disaksikan oleh Pengerusi Lembaga Pengurusan SMK St Teresa Wong Kie Ming (dua kiri) serta yang lain.
KUCHING: Dasar kerajaan yang memberi peluang kepada kaum wanita menceburi pelbagai bidang khasnya di Sarawak telah menyaksikan perkembangan terbaik kaum itu untuk menyumbang kepada pembangunan negeri.
Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata, perkembangan itu berlaku sejak 50 tahun merdeka dalam Malaysia apabila dasar-dasar diperkenal untuk menyediakan sistem pendidikan yang memberi akses kepada golongan wanita.
“Lima puluh tahun dahulu, sistem pendidikan yang memberi peluang kepada semua mendapat pendidikan dan wanita tidak terkecuali daripada peluang bersekolah.
“Selepas 50 tahun merdeka, kita dapat melihat perkembangan amat baik di kalangan wanita khasnya dari segi enrolmen di sekolah rendah, sekolah menengah, institusi pengajian tinggi (IPT) dan pendidikan,” katanya.
Tambahnya, kini senario jauh berubah dan ia berlaku apabila dengan adanya dasar diperkenalkan oleh kerajaan, pembinaan banyak sekolah di bandar serta luar bandar dapat direalisasikan, sekali gus membuka lebih banyak peluang untuk wanita bersekolah.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Khas Ambang Kemerdekaan dan Melawat Kantin SMK St Teresa yang dihadiri Pengetuanya Mary John di sini, semalam.
Fatimah memberitahu, statistik demografi menunjukkan 49 peratus penduduk Sarawak adalah wanita, namun dari segi enrolmen sekolah menengah dan IPT, ia melebihi 49 peratus.
“Misalnya enrolmen di IPT, kini 60 hingga 70 peratus daripada pelajarnya terdiri daripada golongan wanita.
“Di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), saya dimaklumkan baru-baru ini, daripada 4,500 ambilan pelajarnya, 60 peratus adalah golongan wanita,” katanya.
Beliau berkata, selain daripada dasar yang disediakan oleh kerajaan, komitmen wanita sendiri untuk memajukan diri turut menyumbang kepada kejayaan wanita.
Fatimah dalam pada itu mengingatkan kepada generasi baharu khasnya para pelajar wanita untuk mempersiapkan diri mereka dengan kemahiran serta kemahiran terkini.
Katanya, ia sebagai persediaan menghadapi cabaran baharu yang lebih besar daripada cabaran 50 tahun yang lepas.
“Jika kita tidak menyediakan diri dengan kemahiran terkini kita akan ketinggalan kerana cabaran baharu ini lebih besar berbanding 50 tahun lalu,” tegas beliau.