PUSA: Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Sarawak mengadakan Majlis Penganugerahan Anugerah Remaja Perdana, Rakan Muda di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusa di sini semalam.
Anugerah yang disampaikan bertaraf antarabangsa sempena ‘The Duke Of Edinburgh’s Award’ dan kini lebih dikenali sebagai ‘The International Award For Young People.’
Anugerah itu diperkenalkan pada 1956 di United Kingdom dan disertai oleh 132 negara seluruh dunia.
Di Malaysia, ia bermula pada 2000 melibatkan penyertaan remaja seramai 48,459 orang sehingga tahun 2012 mengikut kategori masing-masing.
Di Sarawak, pentauliahan yang telah dianugerahkan sehingga 2013 adalah seramai 737 orang bagi kategori gangsa dan perak.
Anugerah itu bertujuan memberi pengiktirafan kerajaan kepada remaja berusia 14 hingga 25 tahun atas penglibatan mereka dalam bidang-bidang yang menyumbang kepada proses pembangunan insan melalui pendekatan tujuh gaya hidup rakan muda.
Program ini bukan bersifat pertandingan tetapi lebih kepada penekanan cabaran individu selain memfokuskan gaya hidup yang seimbang dan fleksibel dengan penglibatan secara sukarela yang berterusan dan menyeronokkan.
Dalam pada itu, anugerah ini terbahagi kepada tiga peringkat iaitu gangsa, perak dan emas. Tempoh minimum bagi menyempurnakan anugerah ini ialah enam bulan untuk gangsa, 12 bulan untuk perak dan 18 bulan untuk emas.
Untuk mendapatkannya, peserta perlu melengkapkan empat komponen aktiviti wajib iaitu khidmat masyarakat, rekreasi fizikal, kemahiran dan pengembaraan dan semua aktiviti ini ditetapkan tempoh masa yang dikhaskan bagi melayakkan peserta menerima pentauliahan bagi tahap anugerah yang disertai.
Di Bahagian Betong, SMK Pusa dipilih untuk projek perintis bagi program ini dengan penyertaan seramai 20 pelajar menamatkan program yang diketuai oleh pemimpin anugerah atau mentor (guru) iaitu Kulana Nansi dan Norainie Jamil.
Pada majlis itu, anugerah disampaikan oleh wakil Pengarah JBS Negeri Sarawak, Ronnie Boniface Nugi kepada mentor dan para peserta.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Razaili Gapor, wakil Pegawai Pendidikan Daerah Betong Vevien Mujah, Pengetua SMK Pusa Samsudin Drahman, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Betong, Marawi Ais, ketua-ketua jabatan dan masyarakat.