KULIM: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) memperkenalkan Anugerah Rakan Strategik Industri (ARSI UniMAP) bagi menghargai pihak industri yang bekerjasama dengan universiti itu sejak lebih sedekad penubuhannya.
Sebagai permulaan, sepuluh rakan industri di negara ini diberi anugerah itu berikutan kerjasama membabitkan pembangunan sumber manusia, penyelidikan dan perkongsian teknologi.
Penerima anugerah itu ialah syarikat Philips Lumileds Sdn Bhd, KOBE Precision Technology Sdn Bhd, B.Braun Medical Industries Sdn Bhd, Silterra (Malaysia) Sdn Bhd, Kulim Infineon Technologies Kulim Sdn Bhd, Fuji Electric Semiconductor (Malaysia) Sdn Bhd, MyPartner Sdn Bhd, DreamEDGE Sdn Bhd, Dream Carther Consulting Sdn Bhd dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).
Naib Canselor UniMAP Prof Datuk Dr Kamaruddin Hussain berkata anugerah itu bagi mengeratkan lagi pertalian antara universiti dan pihak industri, bagi mewujudkan situasi menang-menang.
Pengumuman 10 rakan industri UniMAP itu dibuat pada majlis jamuan Aidilfitri UniMAP-Industri 2013 di Anjung UniMAP di sini yang turut dihadiri Raja Muda Perlis yang juga Canselor UniMAP Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Hadir sama pada majlis itu ialah Naib Presiden dan pemangku Presiden Kulim Technology Park Corporation (KTPC) Annuar Safar dan wakil syarikat yang beroperasi di kawasan Kulim Hi-Tech Park di sini.
Menyentuh perkembangan Anjung UniMAP yang diwujudkan di Kulim Hi-Tech Park sejak 2011, Kamaruddin berkata Anjung berkenaan memperkenalkan tiga program utama.
“Ini termasuk penawaran Program Sarjana iaitu Program MBA Pengurusan Kejuruteraan. Sejak diperkenalkan tiga tahun lalu seramai 50 pelajar separuh masa di kalangan warga industri setempat menyertainya,” katanya.
Beliau berkata melalui Institut Matematik Kejuruteraan (IMK), usaha memperkenalkan Program Mod Campuran Kejuruteraan Matematik akan dilaksanakan di Anjung UniMAP pada tahun depan. — Bernama