IPOH: Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yakin Perak akan mencapai taraf negeri maju di bawah Pelan Perak Maju 2015 yang disediakan sebagai peranca-ngan pembangunan untuk dua tahun akan datang.
Beliau berkata perancangan itu telah diumumkan pada 2008 lagi dengan mengambil kira satu tempoh selama tujuh tahun bagi memenuhi hasrat itu.
Walaupun berlaku beberapa anjakan yang berpunca daripada ketentuan ekonomi di peringkat global yang menempias ke negara ini, kerajaan negeri telah merencanakan suatu gagasan holistik yang dikenali sebagai Pelan Pembangunan Perak Amanjaya, katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd Tarmizi Idris (BN-Kenering) mengenai Perak Amanjaya, Perak Maju 2015 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak semalam.
Katanya pelan ini memberi fokus kepada transformasi secara menyeluruh yang me-rangkumi tiga aspek utama iaitu pembangunan sosio-ekonomi, sektoral dan fizikal.
“Dari aspek pembangunan sosioekonomi, pendekatan yang diambil adalah berdasarkan kepada keberhasilan tujuh bidang utama iaitu agihan dan pembangunan seimbang, masyarakat berkemahiran, berilmu dan beretika.
“Ia sebagai nadi pembangunan, jaringan infrastruktur dan kemudahan awam, angkatan generasi muda yang partisipatif dan keharmonian masyarakat gagasan sektor swasta mapan dan amalan mesra alam selari dengan matlamat kerajaan persekutuan dalam menuju Wawasan 2020,” katanya. — Bernama