Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

Jemaah haji Sarawak dinasihat patuhi peraturan

$
0
0

KUCHING: Seramai 606 jemaah dari Sarawak yang bakal menunaikan haji pada tahun ini dinasihat agar mematuhi segala peraturan dan arahan yang ditetapkan oleh Tabung Haji (TH).

Perkara itu ditegaskan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Datuk Daud Abdul Rahman yang memberitahu ia bagi memastikan rekod cemerlang TH dalam pengurusan jemaah haji.

“Saya harap jemaah pada tahun ini mematuhi segala peraturan dan arahan yang diberikan bagi menjaga dan mengharumkan nama Malaysia.

“Ini kerana Tabung Haji mendapat pengiktirafan negara-negara OIC dan menjadi rujukan di peringkat antarabangsa dalam pengurusan jemaah hajinya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri di Pusat Penerangan Islam (IIC) di sini semalam.

Pada masa yang sama, Daud memberitahu jemaah Malaysia merupakan antara jemaah yang berdisiplin dan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi.

“Oleh itu, melalui kursus yang diberikan ini kita berjaya melahirkan jemaah haji yang berpengetahuan dan dapat melakukan ibadah haji dengan baik tanpa menimbulkan banyak masalah,” tambahnya.

Menyentuh mengenai penurunan kuota haji pada tahun ini, Daud berharap mereka yang sedang menunggu giliran untuk menunaikan rukan Islam kelima itu agar bersabar.

“Kita tahu ramai yang sedang menunggu giliran dan kita berharap projek-projek pembesaran Baitullah yang sedang dijalankan oleh kerajaan Arab Saudi dapat disiapkan pada tahun hadapan supaya kuota haji dapat dinaikkan,” katanya.

Terdahulu, Pengurus Besar Jabatan Haji Mat Admara Alang Azizdin ketika berucap berkata, TH menanggung lebih RM100 juta untuk jemaah haji setiap tahun.

“TH telah membelanjakan sejumlah besar peruntukan bagi menganjurkan kursus haji di seluruh negara iaitu hampir RM3 juta dan ini tidak termasuk tanggungan TH bagi setiap Jemaah Haji Muassasah iaitu sebanyak RM5,575 seorang bagi mengekalkan kos haji sebanyak RM9,980 seorang,” ujarnya.

Hadir sama Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datu Putit Matzen, Ahli Penasihat Haji Datuk Wan Abd Wahab Wan Sanusi, Pengarah TH Sarawak Hamid Awang, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Ismail Hanis dan tetamu kehormat lain.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>