SIBU: Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) perlu mendekati lebih ramai golongan muda sebagai pemangkin matlamat memperkasa peranan penting wanita dalam pembangunan negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Dr Annuar Rapa’ee berkata, peranan wanita cukup besar sehingga kemampuan mereka diiktiraf di peringkat tertinggi.
“Dalam konteks memperkasa peranan wanita, PPWS sebagai sebuah pertubuhan bukan politik negeri perlu mendekati golongan muda masa kini yang dilihat kurang aktif dalam pertubuhan sedemikian.
“Ini kerana kesinambungan PPWS berupaya mewujudkan hubungan utuh dalam memperjuang nasib wanita dalam apa juga perkara.
“Malah, ciri kesepaduan yang kita inginkan sudah pasti tercapai dan kita perlu ingat tanpa perjuangan wanita, pembangunan yang dinikmati bukan tentu dapat dicapai,” katanya pada Majlis Malam Riang Ria Merdeka Raya anjuran PPWS Daerah Sibu di pekarangan Sri Rejang, Jalan Awang Ramli Amit di sini, malam kelmarin.
Dr Annuar berkata, kestabilan PPWS yang sudah menjangkau usia 51 tahun memberikan makna penting bahawa wanita bukan lagi golongan yang disifatkan minoriti dalam memainkan sesuatu peranan.
“Apa yang kita khuatiri sekarang, penglibatan generasi muda dilihat berkurangan sedangkan golongan ini merupakan aset negara yang amat penting dalam meneruskan agenda pembangunan negara.
“Maka mendekati golongan ini amat perlu supaya mereka berupaya bersama memperjuang nasib wanita dan mereka mesti mengerti apakah yang diperkatakan dengan sejarah perjuangan wanita,” ujarnya.
Sehubungan itu, katanya, pelantikan seorang wanita dari Sarawak sebagai Menteri di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat iaitu Datuk Rohani Abdul Karim adalah satu penghormatan berharga buat wanita di negeri ini.
“Ini adalah satu contoh terbaik untuk wanita sebagai satu anjakan dalam memperkasakan peranan yang cukup penting dalam sosioekonomi dan politik di negara ini,” katanya.
Hadir sama Kaunselor Awang Ali Bahar Awang Ali Basah, Pemanca Sharifah Mariam Junaidi, Ahli Jawatankuasa PPWS Daerah serta tetamu lain.
Terdahulu Pengerusi PPWS Daerah Sibu, Hajijah Bohari dalam ucapan alu-aluannya memberitahu majlis sedemikian harus dijadikan platform bagi setiap ahli PPWS untuk memperkukuhkan persaudaraan di bawah satu pertubuhan.
“Acara ini kita laksanakan setiap tahun cuma konsepnya berbeza. Inti pati penting kita adakan majlis ini ialah berkongsi kegembiraan menyambut lebaran dan mengeratkan silaturahim sesama kita.
“Wajar bagi setiap ahli untuk mengetahui bahawa jika kita (wanita) bersatu padu, tidak mustahil apa jua di sekeliling kita bukan lagi cabaran atau masalah besar untuk menghadapi masa depan.
“Oleh itu, saya menggesa agar setiap ahli memainkan peranan sebaiknya dan jangan menyalahgunakan kebebasan yang telah diberikan khususnya oleh para suami dengan melakukan hal-hal yang tidak bermanfaat,” katanya.
Sebanyak lapan cawangan PPWS Sibu iaitu Cawangan Bunga Raya, Cawangan Al-Husna Teku, Cawangan Mawaddah Usahajaya 1, Cawangan Hilir 1 dan 2, Cawangan Sentosa Salim, Jalan Sukun serta Cawangan Bandong Abang Barieng menghiasi khemah masing-masing dan menyediakan pelbagai juadah untuk pengunjung.
Dalam pada itu, Dr Annuar turut menyampaikan hadiah kepada Cawangan PPWS Bunga Raya apabila dinobatkan Rumah Terbuka Terbaik, selain menyempurnakan acara cabutan tiket bertuah.
Majlis diserikan dengan pelbagai persembahan hiburan melibatkan artis jemputan daripada Akademi Fantasi Sibu Musim 1 dan 2, persembahan bermukun dan acara selingan sambutan hari jadi untuk anak-anak warga PPWS.