MIRI: Seorang lelaki yang dipercayai merogol seorang pelajar sebuah sekolah menengah di Permyjaya dua bulan lalu berjaya diberkas polis, awal pagi semalam.
Suspek yang berusia 29 tahun ditangkap sekitar jam 2 pagi di sebuah hotel bajet di kawasan Permyjaya di sini.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mun Kock Keong ketika dihubungi mengesahkan tangkapan ke atas suspek terbabit, namun enggan mengulas lanjut.
Dalam pada itu, menurut sumber, suspek berjaya ditangkap oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Miri ketika menginap di hotel berkenaan hasil maklumat yang diterima daripada orang awam.
Semasa tangkapan dibuat, suspek berada seorang diri di bilik hotel berkenaan.
Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 6 pagi, 17 Jun lalu, mangsa yang berusia 15 tahun sedang dalam perjalanan ke sekolah bersama dua rakan perempuan apabila tiba-tiba ditarik oleh seorang lelaki tidak dikenali yang menaiki sebuah kereta jenis Proton Wira berwarna merah.
Sebelum kejadian, lelaki terbabit berpura-pura ingin meminjam telefon bimbit mangsa untuk menghubungi kawannya bagi meminta bantuan membaiki tayar keretanya yang pancit.
Setelah mangsa memberitahu tidak mempunyai telefon bimbit, lelaki terbabit kemudian meminta pensel dan kertas kosong untuk mencatat nombor telefon dan semasa mangsa memberikan pensel dan kertas seperti diminta, lelaki terbabit terus menarik mangsa ke dalam kereta.
Mangsa kemudian dirogol dan dipaksa melakukan seks oral sebelum ditinggalkan di sebuah pondok kebun di kawasan berhampiran.
Berikutan itu, mangsa telah membuat laporan polis pada hari sama.
Sementara itu, suspek yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret petang semalam diperintahkan supaya direman tujuh hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan lanjut polis.