
KASIM (tiga kiri) ketika menerima cenderahati daripada Ahamad (kiri) selepas perasmian persidangan itu.
KOTA KINABALU: Media bukan sahaja dipilih sebagai alat bantu mengajar, tetapi ia juga menjadi bahan yang terancang dalam pengajaran.
Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Jame Alip berkata penggunaan media dalam pengajaran dapat mengintegrasikan aspek perancangan, pemilihan, pengubahsuaian dan penggunaan.
“Model Assure dalam bidang pendidikan memberi panduan kepada guru tentang penggunaan media secara lebih berkesan dan sesuai dengan tahap serta profil pelajar.
“Ia merangkumi analisis ciri pelajar, penyataan objektif, memilih dan menggunakan kaedah, media dan bahan, memerlukan penyertaan pelajar, serta menilai dan mengulangkaji,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Teknologi Pendidikan Negeri sabah Kali ketiga (Teknopen kinabalu) 2013 di sini kelmarin. Teks ucapannya disampaikan oleh Ketua Sektor Jabatan Pengurusan Akademik, Jabatan Pendidikan Sabah, Dr Mohd Kasim Mohd Ibrahim.
Jame berkata, kebiasaan terhadap penggunaan kaedah tradisional menjadikan ada sebahagian guru yang sukar membuat penyesuaian dengan teknologi instruksional.
Katanya, ledakan kemajuan komunikasi teknologi maklumat (ICT) memberi cabaran baru kepada kerjaya keguruan dan sistem pendidikan di sekolah yang masih belum mengalami perubahan yang drastik.
Perubahan berkenaan katanya, termasuklah dari segi pengadaptasian penggunaan teknologi baru seperti komputer, digital dan ‘e-learning’.
“Justeru, dengan adanya persidangan Teknopen ini, ia memberi pendedahan kepada warga pendidik dengan kaedah yang memperkasakan sekolah melalui penyelidikan.
“Ini kerana, penyelidikan adalah salah satu pendekatan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah yang banyak kebaikan.
“Antaranya, dapat membantu guru berhubung dengan penambahbaikan kebiasaan atau budaya pengajaran dalam bilik darjah, menyediakan ruang kepada guru untuk menggilap kreativiti dan inovasi serta membantu guru memperkembangkan profesionalisme melalui proses kendiri,” katanya.
Selain tu, Jame turut menyeru agar warga pendidik lebih berfikiran optimistik untuk melihat potensi yang terdapat dalam dunia sains dan teknologi.
Ia katanya, bagi menjayakan usaha melahirkan generasi berkualiti dalam segenap aspek kehidupan.
Sempena dengan Persidangan Teknopen kali ini, sebanyak 15 pembentangan dan tiga ucaptama disampaikan.
Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Sabah yang juga Pengerusi Pengelola, Ahamad Jais.