Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

CCRIS bukan penyelesaian wajar

$
0
0

KUCHING: Cadangan menyenaraikan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) disifatkan bukan penyelesaian wajar kepada peminjam ingkar.

Malah ia bukan sahaja membebankan peminjam dari segi membuat permohonan lain bahkan memberi impak terutama kepada peminjam bergaji kecil sedangkan kos hidup tinggi pada masa ini.

Tinjauan Utusan Borneo terhadap beberapa peminjam PTPTN menyatakan bahawa mereka tidak bersetuju dengan pelaksanaan itu kerana mungkin terdapat pendekatan bersepadu lain yang dapat menyesaikan masalah itu.

Malah bagi mereka, pinjaman PTPTN adalah berbeza dengan pinjaman lain kerana PTPTN adalah satu keperluan untuk melanjutkan pengajian berbanding pinjaman lain yang bersifat peribadi.

Seorang pekerja swasta, Teodora Chela Tiyus, 26, berkata pendekatan itu tidak wajar kerana ia akan menyekat peminjam menggunakan kemudahan pinjaman lain seperti kereta, rumah dan peribadi.

“Kerajaan juga seharusnya memikirkan bahawa bukan peminjam tidak mahu membayar tetapi kadangkala ia disebabkan kos hidup yang terlalu tinggi kini berbanding dengan gaji yang ditawarkan.

“Apatah lagi graduan yang baharu sahaja keluar dari institusi pengajian tinggi,” katanya.

Teodora berkata, peminjam mungkin akan lebih senang membayar balik pinjaman PTPTN dengan syarat meletakkan standard gaji yang cukup untuk menampung kos hidup serta beban hutang PTPTN.

Seorang lagi peminjam PTPTN, Agnes Engai berkata, kerajaan sepatutnya mencari penyelesaian yang lebih relevan seperti melalui potongan gaji secara terus dengan bekerjasama dengan pihak seperti Kumpulan Wang Simpanan Nasional (KWSP) tetapi bukan menyekat permohonan pinjaman lain.

“Pada saya pelaksanaan CCRIS ini bukan penyelesaian sebaliknya akan menambahkan komitmen kepada peminjam dan menimbulkan tekanan.

“Sedangkan ia mungkin dapat diselesaikan atau dilaksanakan dengan pendekatan lain yang lebih relevan untuk peminjam,” kata penjawat awam berusia 30 tahun itu.

Nur Aisya Sofea Abdullah, 32, berkata sebelum pelaksanaannya kerajaan harus mengambil kira semua aspek kerana tindakan itu mungkin akan memberi bebanan kepada segelintir peminjam.

Tambahnya tidak semua lepasan institusi pengajian tinggi mendapat kerja dan bergaji besar dan mampu untuk terus membayar pinjaman.

“Sebagai bekas pelajar IPT, saya tidak bersetuju dengan pelaksanaan seperti ini kerana ia membebankan kerana bukan semua siswazah itu terus mendapat pekerjaan dan bergaji besar.

“Selain itu sekiranya ia dilaksanakan sekalipun, tindakan ini pasti akan lebih menyusahkan peminjam,” tegasnya.

Kelmarin BERNAMA dipetik sebagai berkata, PTPTN akan melaksanakan CCRIS dengan kerjasama Bank Negara bagi menyenaraikan peminjam ingkar, bermula bulan ini.

Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata, CCRIS merupakan sistem pangkalan data Bank Negara yang menyimpan maklumat kredit peminjam yang telah dilaporkan oleh institusi kewangan.

Menerusi pendekatan ini peminjam PTPTN yang ingkar menerima kesan seperti peminjam institusi kewangan lain, terutama membabitkan kelulusan permohonan pinjaman, kad kredit, sewa beli dan sebagainya, kata Idris.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>